Konvensyen PH buka tirai dengan kehadiran lebih 5,000 perwakilan, Anwar sampai amanat petang ini

LocalPolitics
17 May 2026 • 11:02 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Konvensyen PH buka tirai dengan kehadiran lebih 5,000 perwakilan, Anwar sampai amanat petang ini

KUALA LUMPUR - Kira-kira 5,000 perwakilan dan pimpinan seluruh negara berhimpun bagi menyertai Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 dengan fokus terarah kepada persediaan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Acara kemuncak konvensyen ialah kehadiran Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dijadual menyampaikan amanat utama dan merasmikan kemuncak konvensyen itu pada sebelah petang.

Dengan tema "Tekad Madani, Harapan Rakyat", konvensyen sehari yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor bermula 8.30 pagi menerusi Sesi Town Hall Sayap PH dan ucapan pengerusi-pengerusi PH negeri.

Kehadiran pimpinan utama gabungan itu dijadualkan bermula pada 1.30 tengah hari dalam Sesi Majlis Presiden, lapor Bernama.

Antara pemimpin yang dijangka memberi ucapan ialah Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Ketua Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sementara itu, amanat Anwar yang dijadualkan pada 3.35 petang dijangka menyentuh mengenai hala tuju strategik gabungan itu, khususnya bagi menghadapi PRN Johor dan Melaka yang semakin hampir, selain memperkukuh kerjasama Kerajaan Perpaduan menjelang PRU16.

Selain siri ucapan politik, konvensyen kali ini turut menyaksikan acara simbolik Penyerahan Kit Jentera Pilihan Raya sebagai simbolik kesiapsiagaan jentera di peringkat akar umbi.

Suasana di pekarangan Persada Johor pagi ini kelihatan meriah dengan kehadiran perwakilan yang mengenakan pakaian seragam parti masing-masing, mencerminkan kesatuan dalam kalangan parti komponen PH iaitu PKR, DAP dan Amanah. - 17 Mei, 2026

The post Konvensyen PH buka tirai dengan kehadiran lebih 5,000 perwakilan, Anwar sampai amanat petang ini appeared first on Scoop.