Konvoi ke RXZ Members 8.0 berakhir tragedi, seorang penunggang motosikal maut

31 Jul 2026 • 11:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Konvoi ke RXZ Members 8.0 berakhir tragedi, seorang penunggang motosikal maut
Motosikal Yamaha LC135 milik mangsa dan kemalangan dipercayai berpunca apabila mangsa gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas. Foto Polis Temerloh

TEMERLOH – Hasrat seorang peniaga pasar malam untuk menghadiri program RXZ Members 8.0 di Kuala Terengganu tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan babitkan dua kenderaan di Kilometer 112.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Kuantan, malam Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa, Muhammad Zulhairi Azhar Mohd Shahrizan, 19, dari Klang, Selangor yang menunggang motosikal Yamaha LC135 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Klang ke Kuala Terengganu bagi menghadiri Perhimpunan RXZ Members 8.0 bersama konvoi seramai lima penunggang.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai terbabas sebelum jatuh di lorong kiri jalan dan mangsa tercampak ke lorong kanan.

"Pada masa sama, sebuah Perodua Myvi yang berada di lorong kanan tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa menyebabkan mangsa tercampak ke tepi jalan di lorong kiri.

"Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya pada Jumaat

Mohd Nasyim memberitahu, siasatan lanjut turut mendapati mangsa tidak memiliki lesen motosikal ketika kejadian.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian mangsa yang gagal mengawal motosikal ditungganginya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," jelas beliau.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved