RXZ Members 8.0: Tiga maut dalam perjalanan ke Terengganu

31 Jul 2026 • 10:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RXZ Members 8.0: Tiga maut dalam perjalanan ke Terengganu
Keadaan motosikal milik mangsa susulan rempuh selepas merempuh sebuah pacuan empat roda yang berhenti di lorong kecemasan. Foto: Polis Maran

KUALA LUMPUR - Perjalanan ke Perhimpunan RXZ Members 8.0 di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu bertukar tragedi apabila tiga penunggang motosikal maut, manakala dua lagi cedera dalam empat kemalangan berasingan di beberapa lokasi di Pahang sejak malam tadi.

Di Temerloh, seorang peniaga pasar malam, Muhammad Zulhairi Azhar Mohd Shahrizan, 19, maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 112.3 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menghala ke Kuantan, kira-kira jam 11 malam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 11 malam membabitkan motosikal Yamaha LC135 yang ditunggang mangsa dari Klang, Selangor menuju ke Terengganu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal sebelum terbabas dan terjatuh di atas lebuh raya.

“Mangsa kemudian tercampak ke lorong kanan sebelum sebuah kereta yang melalui laluan itu gagal mengelak lalu melanggarnya. Akibat pelanggaran tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Nasyim berkata, pemandu kereta berusia 23 tahun yang terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas.

Sementara itu, di Maran, dua lagi penunggang motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan di Kilometer 184 dan Kilometer 147 LPT1 arah Kuantan, masing-masing kira-kira jam 6 pagi dan 10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, mangsa pertama, Mohd Fauzi Othman, 44, dari Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan sebelum motosikalnya terbabas dan terjatuh di lorong kanan lebuh raya.

Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Dalam kejadian kedua, Muhamad Fikri Jamallunasi, 34, turut maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai merempuh bahagian belakang sebuah pacuan empat roda yang berhenti di lorong kecemasan.

Menurut Kim Wai, kenderaan itu berhenti bagi membantu seorang ahli konvoi yang mengalami kerosakan motosikal ketika dalam perjalanan ke perhimpunan RXZ Members 8.0.

Di Rompin pula, dua lelaki berusia 41 dan 34 tahun cedera selepas motosikal Yamaha RXZ dan Suzuki TXR150 mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 100 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Politeknik Muadzam Shah.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika 17 motosikal berkonvoi dari Gemas, Negeri Sembilan menuju ke Terengganu sebelum seorang penunggang dipercayai terjatuh dan dilanggar motosikal dari belakang, menyebabkan kedua-dua motosikal terseret di atas jalan sebelum terbakar. - Awani

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved