
BUNYI deruman enjin motosikal menjadi simbol perpaduan apabila hampir 100 motosikal pelbagai jenis berkumpul seawal pukul 4 pagi di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan.
Konvoi Subuh Srupo Jumaat (Subuh Seperti Jumaat) itu bukan sekadar aktiviti permotoran biasa, sebaliknya membawa mesej bahawa dunia motosikal juga mampu bergerak seiring dengan nilai keagamaan dan persahabatan.
Menurut Pengerusi Kelab Pemilik Yamaha RXZ Kelantan, Asmal Azim Hasim, aktiviti dimulakan dengan taklimat keselamatan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekitar pukul 5 pagi.
Program yang mendapat kerjasama kerajaan negeri Kelantan itu diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud pada pukul 5.15 pagi.
Beliau seterusnya mengetuai konvoi dengan menunggang motosikal jenis skuter menuju ke Masjid Jamek Al-Sultan Petra, Kubang Kerian.
“Walaupun hanya sekitar 100 motosikal terlibat dalam konvoi ini, namun jumlah keseluruhan individu yang hadir dianggarkan mencecah kira-kira 4,000 orang.
“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan imej positif golongan permotoran dengan menyelitkan nilai keagamaan.
“Aktiviti sebegini dapat membina budaya persahabatan dalam kalangan anak muda yang meminati permotoran tidak mengira jenis motosikal,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.

Menariknya, konvoi itu bergerak secara teratur dengan kawalan PDRM menerusi kenderaan pacuan empat roda serta motosikal berkuasa tinggi.
Pendekatan itu bukan sahaja memastikan keselamatan peserta, malah membantu melancarkan pergerakan di sepanjang perjalanan sejauh kira-kira lima kilometer dari stadium ke masjid.
Pasukan konvoi tiba di masjid sekitar pukul 5.45 pagi, sebelum para peserta bersama ribuan jemaah menunaikan solat subuh secara berjemaah.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kelab Pemilik Yamaha RXZ Kelantan, Ahmad Rizal Jeffriza berkata, jumlah kehadiran peserta yang memberangsangkan itu berjaya memenuhi ruang solat masjid, sekali gus merealisasikan matlamat utama penganjuran program.
“Selesai solat, Menteri Besar Kelantan menyampaikan kuliah subuh sebelum majlis diteruskan dengan sesi berselawat dan cabutan bertuah.
“Melihat kepada sambutan positif, kami merancang untuk mengembangkan program ini pada tahun depan dengan sasaran menghimpunkan sehingga 10,000 peserta motosikal pelbagai jenis bagi menunaikan solat subuh secara berjemaah.
“Acara ini secara tidak langsung membuktikan bahawa konvoi bukan sekadar aktiviti permotoran, malah mampu menjadi wadah menyemai disiplin, persahabatan dan nilai keagamaan dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
The post Konvoi Subuh Srupo Jumaat bersama MB Kelantan appeared first on Kosmo Digital.


