liza10/08/2026 - 16:23 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Ogos – Selepas kejayaan himpunan komuniti RXZ di Terengganu yang menarik penyertaan lebih 200,000 pengunjung, Kelantan turut mengambil peluang menghimpunkan komuniti permotoran menerusi Program Subuh Srupo Jumaat pada 21 Ogos ini.
Program berkenaan dijangka menarik kira-kira 2,000 peminat permotoran khususnya komuniti RXZ dan kelab motosikal di Kelantan yang akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat serta menarik kunjungan komuniti permotoran ke negeri itu.
Program bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud itu dijangka disertai peminat RXZ, kelab-kelab motosikal, golongan belia serta masyarakat umum di Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian.
Program yang dianjurkan RXZ Forever Legend itu berpotensi menjadi antara acara yang menghimpunkan komuniti permotoran dalam jumlah besar di Kelantan, sekali gus membuka ruang kepada aktiviti ekonomi berkaitan makanan, penginapan, bahan api dan perkhidmatan sepanjang tempoh peserta berada di negeri itu.
2,000 peminat RXZ dijangka ke Kelantan
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad berkata program berkenaan mengetengahkan pendekatan santai dengan menghimpunkan komuniti permotoran, golongan belia, kelab motosikal dan masyarakat.
“Program dijadualkan bermula seawal pukul 4 pagi dengan pendaftaran peserta di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV sebelum mereka bergerak ke Masjid Al-Sultan Ismail Petra.
“Antara pengisian utama program ialah solat Subuh secara berjemaah, kuliah khas oleh Menteri Besar Kelantan, majlis selawat, cabutan bertuah, penyampaian cenderahati serta sarapan pagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Cabutan bertuah jadi tarikan
Selain pengisian program, cabutan bertuah turut menjadi antara tarikan utama dengan hadiah membabitkan sebuah motosikal serta pelbagai barangan elektrik untuk peserta.
Tarikan berkenaan dijangka menambah kemeriahan program yang menghimpunkan pemilik dan peminat RXZ bersama kelab motosikal dari Kelantan serta komuniti permotoran yang lain.
Zamakhshari berkata, program itu menjadi platform untuk mendekatkan kerajaan negeri dengan komuniti permotoran dan golongan belia melalui pendekatan yang lebih santai serta bersesuaian dengan minat generasi muda.
Komuniti permotoran rancakkan aktiviti setempat
Sementara itu, Pengerusi Kelab Pemilik RXZ Kelantan, Asmal Azim Hasim berkata, penganjuran program itu menyasarkan penyertaan daripada pemilik dan peminat motosikal RXZ selain kelab-kelab motosikal di Kelantan, komuniti belia, komuniti masjid dan orang awam.
Katanya, program berkenaan membawa misi menjadikan komuniti permotoran sebagai salah satu medium untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan peminat motosikal dan masyarakat.
Beliau berkata, penganjuran itu turut membuka peluang kepada komuniti permotoran untuk terlibat dalam aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat secara lebih terbuka dan inklusif.
Jelasnya, pihak penganjur menyasarkan Program Subuh Srupo Jumaat berkembang sebagai antara program komuniti permotoran berteraskan Islam terbesar di Kelantan.
“Kami berharap inisiatif itu dapat memperlihatkan minat terhadap dunia permotoran boleh digerakkan seiring dengan pembinaan sahsiah, pengukuhan ukhuwah dan kegiatan kemasyarakatan, di samping memberi ruang kepada komuniti luar mengenali Kelantan dan merancakkan aktiviti setempat,” katanya. - DagangNews.com




