Koperal polis mangsa langgar lari meninggal dunia selepas sembilan bulan terlantar

LocalPolitics
25 Mar 2026 • 5:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Koperal Mohd Fairus Khamis,42 menghembuskan nafas terakhir pada hari raya keempat jam 6.10 pagi di rumah mereka di Sendayan selepas sembilan bulan terlantar.
image is not available
Jenazah Allahyarham Mohd Fairus selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ainsdale
image is not available
Pada 21 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan berkenaan Rozalina yang terpaksa menyambut lebaran dalam keadaan sederhana.

SEREMBAN - Aidilfitri kali ini menjadi detik paling sayu buat Koperal Rozalina Jaafar, 40, apabila suaminya yang terlantar selepas menjadi mangsa langgar lari tahun lalu, pergi buat selama-lamanya pada Selasa.

Suaminya, Koperal Mohd Fairus Khamis, 42, menghembuskan nafas terakhir pada hari raya keempat jam 6.10 pagi di rumah mereka di Sendayan di sini.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ainsdale selepas solat Zohor dengan turut dihadiri bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasharudin Mohd Shariff.

**media[3471917]**

Allahyarham yang sebelum ini bertugas di Balai Polis Rahang meninggalkan dua anak lelaki berusia lima dan 12 tahun.

Dalam insiden 2 Jun tahun lalu, Allahyarham cedera parah selepas motosikal ditunggangnya dipercayai dilanggar lari dalam kejadian di Jalan Bukit Nenas, berhampiran Taman Rimbun Indah di sini.

Kejadian jam 7.55 pagi itu berlaku ketika mangsa yang bertugas di Balai Polis Rahang dalam perjalanan ke tempat kerja.

Pada 21 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan berkenaan Rozalina yang terpaksa menyambut lebaran dalam keadaan sederhana, termasuk melupakan perancangan untuk pulang beraya di kampung halamannya di Perak kerana keadaan suaminya sekarang.

**media[3471930]**

"Tahun lepas raya di kampung suami di Melaka dan sepatutnya tahun ini di kampung saya pula. Tapi disebabkan keadaan suami begini, kami memang tak dapat ke mana-mana.

"Jadinya adik- beradik saya sepakat berkumpul di rumah saya saja. Raya itu memanglah raya, tapi suasana itu tak sama lagi macam dulu," katanya.