amree20/11/2026 - 11:00 Foto kredit Makarim Umm Al Qura Makkah Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov — Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) berusaha menguatkuasakan keputusan timbang tara berjumlah 158.01 juta riyal (RM172.94 juta) terhadap syarikat Arab Saudi, Al-Rawda, selepas keputusan berkenaan memihak kepada koperasi itu pada Jun 2026.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, KPF sedang mendapatkan khidmat daripada firma guaman tempatan di negara tersebut bagi melaksanakan keputusan timbang tara berkenaan menerusi Mahkamah Penguatkuasaan yang memang terdapat Arab Saudi.
Jelas beliau, isu tersebut bermula apabila Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada 16 Jun 2014 meluluskan cadangan KPF untuk memajak Hotel Umm Al-Qura di Mekah daripada Al-Rawda dengan nilai ketika itu 160 juta riyal (kira-kira RM137 juta) bagi tempoh selama 10 tahun.
"Bagaimanapun, KPF memaklumkan perubahan terma dan syarat perjanjian pajakan kepada SKM pada 28 November 2014. Al-Rawda kemudian didapati memungkiri perjanjian apabila gagal membuat bayaran mengikut jadual yang dipersetujui," tambah beliau dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Sim berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang meminta penjelasan sama ada pembiayaan KPF kepada Al-Rawda mematuhi Akta Koperasi 1993 dan Undang-Undang Kecil KPF, selain status pembayaran balik oleh syarikat berkenaan.
Menjelaskan lanjut, susulan kegagalan berkenaan, KPF ujar beliau sudah memulakan tindakan undang-undang terhadap Al-Rawda pada 30 Mei 2018 bagi mendapatkan semula jumlah yang terhutang. Hotel Umm Al-Qura terletak hanya kira-kira 2.1 kilometer dari Masjidil Haram.

Pada 3 Jun 2026, GCC Commercial Arbitration Centre (GCCCAC) di Bahrain memutuskan penganugerahan timbang tara sebanyak 158.01 juta riyal (RM172.94 juta) memihak kepada KPF, namun masih lagi tertakluk kepada proses pengiktirafan dan penguatkuasaan di Arab Saudi.
"Setakat ini, jumlah keseluruhan bayaran yang diterima oleh KPF hasil transaksi dengan Al-Rawda ialah 93.96 juta riyal (RM95.78 juta), merangkumi bayaran prinsipal sebanyak 65.77 juta riyal (RM67.04 juta) dan keuntungan 28.19 juta riyal (RM28.74 juta)," jelas Sim.
Semakan pada 30 September 2026 namun mendapati keseluruhan transaksi berkenaan sebenarnya sudah dilaksanakan menerusi struktur pembiayaan Commodity Murabahah Agreement (CMA), bukannya melalui kaedah pajakan seperti yang diluluskan oleh SKM sebelum ini.
Menurut beliau, KPF perlu melaksanakan perubahan struktur berkenaan atas nasihat daripada pasukan perundangannya yang berpandangan entiti asing memang tidak pun dibenarkan untuk memajak sebarang hartanah di Mekah melebihi tempoh selama dua tahun.
Perkembangan itu menunjukkan struktur transaksi sebenar tidak selari dengan kelulusan pajakan yang diberikan SKM pada 2014, sekali gus menjadi antara perkara penting dalam penjelasan kerajaan berhubung cabaran urus niaga berkenaan. - DagangNews.com


