amree04/11/2026 - 14:02 SEKUMPULAN jemaah haji Malaysia bergerak ke Masjidil Haram di Mekah pada musim 2026 lalu. - Gambar hiasan kredit BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov — Tempoh menunggu giliran menunaikan haji yang sebelum ini boleh mencecah sekitar 150 tahun dijangka dapat dipendekkan kepada 70 tahun menerusi pelaksanaan pelan persediaan haji baharu yang giat dirangka oleh pihak Lembaga Tabung Haji (TH).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, inisiatif menerusi pelan Seruan Istito’ah itu bertujuan membantu umat Islam di Malaysia agar dapat membuat persediaan bagi menunaikan ibadah fardu tersebut lebih awal, sistematik dan terancang.
Dengan inisiatif terbaharu ini ujar beliau, TH menjangkakan tempoh menunggu giliran haji akan datang dapat disingkatkan kepada satu jangka waktu yang lebih munasabah berbanding kaedah sebelum ini apabila memakan masa mencecah 150 tahun kepada hanya 70 tahun.
"Usaha ini antara beberapa pengesyoran Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terutama dari aspek kelayakan haji dan tempoh menunggu giliran haji," jelasnya menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Seri Gading) di Dewan Rakyat mengenai beberapa syor yang belum dilaksanakan.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut menyasarkan pindaan Akta Tabung Haji 1995 untuk dapat dibentangkan di Parlimen pada tahun depan bagi memperkukuhkan lagi tadbir urus, akauntabiliti dan kemampanan kewangan institusi simpanan umat Islam berkenaan.
Zulkifli berkata, pindaan itu mengambil kira kelemahan dikenal pasti menerusi laporan RCI berhubung pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, termasuk berkaitan tatatertib serta skop kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Menurutnya, daripada 25 syor penambahbaikan yang dikemukakan oleh RCI, sebanyak 17 syor berada di bawah tanggungjawab TH, manakala lapan lagi melibatkan pihak lain antaranya Kementerian Kewangan (MOF) dan agensi berkuasa berkaitan.
"Setakat ini, TH sudah berjaya melaksanakan 13 daripada 17 syor di bawah tanggungjawabnya, iaitu bersamaan 76%, manakala baki empat syor masih dalam tindakan dan berkaitan pindaan Akta Tabung Haji 1995 serta peraturan-peraturan berkaitan," kata beliau.
Ujar Zulkifli, langkah penambahbaikan sudah dimulakan menerusi Pelan Pemulihan TH sejak 2018, yang membawa kepada pengukuhan aspek tadbir urus, pengurusan kewangan secara lebih mampan, pembinaan rizab yang kukuh serta kawalan kos haji dengan lebih stabil.
Antara pembaharuan yang dilaksanakan itu tambah beliau, termasuk penggunaan sepenuhnya piawaian perakaunan selaras dengan syor RCI serta pengumuman kadar agihan keuntungan berdasarkan penyata kewangan tahunan yang diaudit sejak 2022.
Selain itu, Zulkifli turut menjelaskan bahawa TH sudah mengubah amalan pemberian bonus kakitangan dengan mengambil kira prestasi keseluruhan institusi dan pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI), tertakluk kelulusan Menteri Hal Ehwal Agama dan Menteri Kewangan.
"Bagi memuktamadkan cadangan pindaan akta berkenaan, kerajaan dan TH terus meneliti aspek berkaitan melalui kerjasama dengan pihak berkepentingan, termasuk BNM dan SC, selain memastikan setiap syor RCI dilaksanakan secara berkesan," tegasnya. - DagangNews.com





