hamden27/10/2026 - 11:01 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Okt - Lembaga Tabung Haji (TH) telah melaksanakan langkah penguatkuasaan termasuk mengesan aliran wang dan pindahan bank milik Al-Rawda Investment for Real Estate Development and Project Management Ltd (Al-Rawda) di Arab Saudi bagi memulihkan hutang berjumlah SAR884.1 juta (kira-kira RM1 bilion).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkaitan di Arab Saudi susulan kegagalan syarikat berkenaan mematuhi perjanjian pembayaran penyelesaian hutang dengan TH.
"TH memandang serius perkara itu dan komited menjaga kemampanan portfolio pelaburannya berdasarkan tahap toleransi risiko yang bersesuaian," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan laman web Parlimen.
Beliau menjawab Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) yang bertanya usaha kerajaan mendapatkan semula wang pelaburan pajakan Hotel Ar-Raudah di Mekah yang mengalami kerugian seperti didedahkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Zulkifli berkata, pertikaian itu berpunca daripada perjanjian yang dimeterai antara 2014 hingga 2017, apabila TH memajak empat rangkaian hotel di Makkah dan Madinah untuk tempoh jangka panjang sebagai sebahagian daripada pelaburan pajakan legasinya.
Katanya, TH kemudian mengambil tindakan undang-undang dan prosiding penguatkuasaan di mahkamah Arab Saudi berhubung nota janji yang dikeluarkan oleh Al-Rawda serta dijamin oleh pemilik syarikat itu sendiri selepas Al-Rawda gagal membuat bayaran mengikut perjanjian untuk tempoh yang lama.
Al-Rawda perlu bayar SAR899 juta
Zulkifli berkata, prosiding timbang tara yang dimulakan Al-Rawda terhadap TH pada 2021 berakhir dengan keputusan yang mengarahkan syarikat berkenaan membayar SAR899 juta kepada TH.
"Pada 27 November 2024, kedua-dua pihak menandatangani Perjanjian Penyelesaian bagi menetapkan kaedah pembayaran award timbang tara berkenaan.
"Bagaimanapun, Al-Rawda hanya membayar sebahagian daripada jumlah itu, iaitu SAR14.9 juta, dan masih gagal mematuhi terma perjanjian walaupun TH memberikan tempoh lanjutan," katanya.
Beliau menambah, susulan kegagalan itu, Perjanjian Penyelesaian berkenaan ditamatkan pada 15 Januari 2025.
Pada September 2025, TH turut mengemukakan surat aduan berhubung kegagalan Al-Rawda kepada Gabenor Makkah. - DagangNews.com






