Kor Ming enggan ulas desakan letak jawatan, tegaskan terus bekerja untuk rakyat

LocalPolitics
12 Jul 2026 • 12:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kor Ming enggan ulas desakan letak jawatan, tegaskan terus bekerja untuk rakyat
Kor Ming (dua dari kanan) menyempurnakan simbolik penyerahan Pemberian Wang Ihsan Bencana Ribut Bercham di Kampung Bercham di Ipoh pada Ahad.

IPOH - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming enggan mengulas isu desakan peletakan jawatan beliau susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Teluk Intan itu menegaskan keutamaannya adalah terus berkhidmat dan memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat.

"Saya kekal komited untuk bekerja, berkhidmat dan berjasa kepada rakyat. Ini adalah komitmen saya," katanya ketika ditemui dalam program Pemberian Wang Ihsan Bencana Ribut Bercham di Kampung Bercham, di sini pada Ahad.

Ketika terus diasak soalan berkaitan PRN Johor dan kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan, Timbalan Pengerusi DAP itu sekali lagi mengelak daripada mengulas lanjut.

Beliau sebaliknya mengingatkan agar tumpuan diberikan kepada tanggungjawab membantu rakyat.

“Saya faham tugas anda (wartawan), tetapi saya juga ada tanggungjawab untuk dilaksanakan.

"Kita fokus kepada kesejahteraan rakyat. Hati saya memang bersama dengan rakyat. Saya boleh rasa keperitan dan kesusahan. Bila saya datang untuk bantu, elakkan semua isu (politik),” katanya sebelum beredar.

Terdahulu, beliau memaklumkan, bantuan wang ihsan berjumlah RM1 juta telah disalurkan kepada 556 keluarga yang terjejas dalam bencana ribut di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bercham, Jun lalu.

“Kita datang hari ini untuk serahkan bantuan kepada mangsa. Ini adalah tanda keprihatinan Kerajaan Madani dalam usaha membantu rakyat tanpa mengira latar belakang," katanya.

Tambah beliau, bantuan tersebut disalurkan terus ke akaun penerima bermula hari ini.

“Yang terima sampul surat hari ini, maknanya wang sudah dimasukkan ke dalam akaun masing-masing,” jelasnya.

Kor Ming sebelum ini dilapor bertegas untuk tidak teragak-agak menjadi individu pertama melepaskan jawatan menteri sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan susulan kemenangan besar BN dalam PRN Johor.

Dalam laporan itu, Kor Ming mendakwa UMNO Johor berulang kali menyuarakan hasrat supaya Najib dibebaskan lebih awal dengan slogan 'UMNO menang besar, Najib pulang ke rumah' yang mana perkara tersebut adalah 'garis merah' parti terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Johor: 55 calon hilang wang deposit

Dua faktor kemenangan BN

[RASMI] Keputusan penuh 56 kerusi PRN Johor ke-16

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved