Korea Selatan Huru-hara, Presiden Suk-yeol Tarik Balik Pengisytiharan Darurat Lepas Didesak Parlimen

4 Dec 2024 • 10:40 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Lewat malam semalam, Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol telah membuat kejutan apabila mengisytiharkan undang-undang tentera dalam ucapan di televisyen, dengan menuduh parti pembangkang utama negara itu bersimpati dengan Korea Utara dan aktiviti ‘anti-negara’.

Menurut laporan CNN, Suk-yeol tidak menyatakan langkah-langkah spesifik yang akan dilaksanakannya.

image is not available

Presiden itu juga memetik usul pembangkang utama, Parti Demokratik yang dituduh cuba memecat pendakwa raya kanan dan menolak cadangan belanjawan kerajaan. Tambah Suk-yeol lagi, tindakan pembangkang juga dilabel sebagai ‘perbuatan subversif bertujuan untuk menghasut pemberontakan’.

Tarik balik darurat lepas beberapa jam

Selepas beberapa jam mengumumkan darurat, Presiden Suk-yeol dilaporkan mengumumkan penarikan balik undang-undang berkenaan pada awal pagi Rabu selepas Dewan Kebangsaan meluluskan usul mendesak ia ditamatkan.

Di bawah Perlembagaan, undang-undang tentera mesti dibatalkan apabila majoriti ahli parlimen menuntutnya.

Daripada 300 ahli Parlimen, 190 hadir dalam sesi itu dan kesemuanya menyokong usul untuk tamatkan undang-undang tentera.

Kabinet Korea Selatan telah meluluskan usul penamatan undang-undang darurat pada jam 4.30 pagi, kira-kira lepas enam jam Suk-yeol mengisytiharkannya.

Dalam pada itu, Ketua Turus Bersama Tentera Korea Selatan mengesahkan bahawa pasukan tentera yang dikerahkan untuk melaksanakan undang-undang darurat telah kembali ke pangkalan masing-masing dan keadaan kembali seperti biasa.

Moga kembali aman-aman saja ya keadaan di Korea Selatan sana.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.