
KATHMANDU: Kos pembinaan semula Nepal selepas dilanda banjir dahsyat pada Rabu lalu boleh mencecah berbilion-bilion dolar, kata Menteri Luar, Shisir Khanal ketika pihak berkuasa berusaha menangani skala kemusnahan yang besar.
Tiga hari selepas bencana itu, Khanal berkata bahawa keutamaan sekarang adalah usaha menyelamat dan menyelamatkan nyawa sebanyak mungkin tetapi skala bencana tersebut sudah pun membebankan keupayaan kerajaan.
“Kami akan menjalankan kajian mengenai kerugian dan kerosakan sebelum merangka perancangan, tetapi saya sedang memohon sokongan daripada masyarakat antarabangsa.
“Kos pembinaan semula dan pemulihan mungkin mencecah berbilion-bilion dolar.
“Kami telah menghubungi rakan-rakan kami yang boleh menyediakan bantuan bagi memenuhi keperluan khusus, bukan hanya dalam operasi menyelamat.
“Ratusan mayat telah ditemukan di kawasan hilir dan terdapat risiko mayat-mayat itu mereput dengan cepat kerana telah berada di dalam air untuk tempoh yang lama.
“Kapasiti sistem penjagaan kesihatan kami sendiri sangat terhad untuk menyimpan mayat-mayat ini dalam keadaan beku bagi tempoh yang lama,” kata Khanal kepada pemberita di Kathmandu.
Sementara itu, banjir maut di Nepal menghanyutkan pos sempadan, jambatan dan bangunan, mengejutkan pasukan penyelamat China yang pertama kali tiba bagi menyaksikan lokasi tersebut ‘lenyap’ dibalik tinggalan sisa runtuhan.
Imej satelit yang dirakam sejak bencana digelar ‘tsunami dari langit’ yang dipercayai berlaku akibat glasier runtuh itu melanda perkampungan terpencil Nepal termasuk Tibet menunjukkan keseluruhan penempatan tertimbus di bawah lumpur dan seolah-olah hilang begitu sahaja.
Pos sempadan Rasuwagadhi, yang terletak di salah satu hujung Jambatan Persahabatan di sempadan Nepal-Tibet, akhirnya dapat dikunjungi pasukan penyelamat pada Jumaat dan didapati musnah sama sekali.
Setakat ini, seramai 3,044 orang termasuk pelancong masih hilang di Nepal dan Tibet, manakala 750 lagi disahkan maut dengan laporan menyatakan bahawa beberapa mayat mungkin dihanyutkan arus hingga ke kawasan hilir sejauh India
Ramai warga asing dikhuatiri berada di sekitar Rasuwagadhi ketika mengerjakan ziarah keagamaan atau menyertai ekspedisi merentas alam.
Bagaimanapun, risiko banjir susulan, ditambah keadaan cuaca buruk, bentuk muka bumi pergunungan terpencil dan skala operasi yang besar, menyukarkan operasi menyelamat mangsa-mangsa.
Imej satelit terbaharu yang diperoleh menunjukkan skala kemusnahan, dengan keseluruhan penempatan lenyap dihanyutkan arus deras lumpur dan air yang mengalir di sepanjang Sungai Trishu.
Media kerajaan melaporkan pasukan China yang terdiri daripada 21 anggota penyelamat bersama seekor anjing mencari dan menyelamat tiba di Rasuwagadhi, Jumaat lalu dan tergamam apabila melihat kemusnahan yang berlaku.
“Kini lintasan itu sudah lenyap, begitu juga kawasan parkir besar di belakangnya, (termasuk) Jambatan Persahabatan dan semua bangunan berkaitan. Hanya sungai dan kawasan hijau di sekelilingnya yang masih kelihatan, seolah-olah lokasi itu tidak pernah wujud.
“Tiada jalan, semuanya hutan dan tebing curam. Di kompleks berkenaan, sejauh mata memandang, tiada apa-apa kecuali runtuhan,” kata anggota penyelamat, Zou Mingqi.
The post Kos berbilion dolar bina semula Nepal akibat banjir besar appeared first on Utusan Malaysia.






