Kos pembinaan meningkat, pelarasan aset antara faktor Gadang rugi RM77 juta pada FY26

LocalBusiness & Finance
23 Sep 2026 • 4:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kos pembinaan meningkat, pelarasan aset antara faktor Gadang rugi RM77 juta pada FY26 Image from: Kos pembinaan meningkat, pelarasan aset antara faktor Gadang rugi RM77 juta pada FY26 liza23/09/2026 - 16:22 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Sept – Prestasi Gadang Holdings Berhad bertukar daripada keuntungan kepada kerugian selepas cukai RM77.04 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026 (FY2026) walaupun hasil kumpulan meningkat sedikit kepada RM787.45 juta daripada RM779.81 juta pada tahun sebelumnya.

 

Perubahan prestasi itu berpunca daripada peningkatan kos projek pembinaan, kelewatan projek serta beberapa pelarasan nilai aset dan inventori yang menekan keputusan kewangan kumpulan sepanjang FY2026.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gadang berkata kumpulan menanggung tambahan kos pembinaan sebanyak RM33.1 juta yang meningkatkan kos jualan bagi projek-projek pembinaan yang sedang dijalankan.

 

“Kumpulan turut membuat peruntukan RM9.5 juta bagi liabiliti berpotensi berkaitan ganti rugi ditetapkan susulan kelewatan sebuah projek pembinaan sedia ada.

 

“Selain itu, Gadang mengiktiraf pelarasan nilai inventori RM25.4 juta dan kemerosotan nilai loji kuasa sebanyak RM18.9 juta, manakala kerugian pertukaran mata wang asing belum direalisasikan berjumlah RM9.4 juta susulan penyusutan nilai Rupiah Indonesia,” katanya.

 

Kos pembinaan tekan prestasi kumpulan

Tekanan paling ketara datang daripada bahagian pembinaan yang mencatat hasil RM519.89 juta, meningkat daripada RM444 juta pada FY2025, tetapi beralih kepada kerugian sebelum cukai RM29.4 juta daripada keuntungan RM6.28 juta.

 

Gadang berkata prestasi bahagian itu terjejas akibat peningkatan harga bahan mentah, peruntukan ganti rugi ditetapkan serta kos tambahan susulan lanjutan tempoh bagi projek pembinaan yang sedang dijalankan.

 

Menurut kumpulan, aktiviti ujian dan pentauliahan (testing and commissioning) mengambil masa lebih lama daripada jangkaan sehingga menyebabkan kelewatan penyerahan akhir projek dan keperluan membuat peruntukan ganti rugi.

 

“Bagaimanapun, beberapa projek pembinaan mencatat kemajuan, termasuk bangunan depoh bagi projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang dilaksanakan mengikut jadual.

 

“Projek Institut Perubatan Forensik Negara di Kuala Lumpur pula hampir siap, manakala Pusat Data Lembah Klang dijadualkan diserahkan pada awal tahun kewangan berikutnya,” kata Gadang.

 

Hartanah dan utiliti turut berdepan tekanan

Bahagian pembangunan hartanah pula mencatat hasil RM234.01 juta pada FY2026, susut daripada RM300.99 juta pada tahun sebelumnya.

 

Keuntungan sebelum cukai bahagian itu turut berkurang kepada RM10.23 juta daripada RM24.88 juta, antara lain susulan pengiktirafan pelarasan nilai inventori RM25.4 juta berkaitan cadangan pelupusan tanah bagi pembangunan Rumah Selangorku di Semenyih.

 

Gadang berkata cadangan pelupusan tanah itu dibuat susulan kelewatan pembangunan di Semenyih yang menyebabkan kos pegangan, pembinaan dan pembiayaan meningkat.

 

Sementara itu, bahagian utiliti mencatat hasil RM33.55 juta berbanding RM34.82 juta pada FY2025, dengan kerugian bahagian itu antara lain disebabkan kemerosotan nilai loji mini hidro 9 megawatt di Lintau, Indonesia.

 

Kemerosotan nilai tersebut dipengaruhi perubahan persekitaran ekonomi makro termasuk penyusutan berterusan Rupiah Indonesia, peningkatan penilaian risiko negara dan ketidaktentuan pasaran.

 

Prospek masih bergantung kepada kontrak baharu

Walaupun keputusan FY2026 terjejas, Gadang menjangka sektor pembinaan terus disokong pelaburan dalam projek infrastruktur, tenaga boleh baharu, pusat data dan infrastruktur digital pada FY2027.

 

“Bahagian pembinaan akan terus memburu kontrak baharu dalam bidang infrastruktur, gudang logistik, pusat data, Sistem Transit Aliran Ringan Pulau Pinang dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

 

“Kumpulan turut meneroka peluang dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), infrastruktur air, KLIA Aeropolis dan Penang International Logistics Aeropark (PILA).

 

“Dalam tenaga boleh baharu, loji solar 5.9 megawatt arus ulang-alik di Tawau, Sabah telah mencapai operasi komersial pada 23 Disember 2025, manakala loji solar bersebelahan berkapasiti 15 megawatt arus ulang-alik mencapai kira-kira 37% kemajuan pada akhir FY2026,” katanya.

 

Gadang bagaimanapun menjangka tekanan kos operasi kekal menjadi cabaran, justeru kumpulan akan memberi tumpuan kepada pengurusan kos, pelaksanaan projek secara berdisiplin dan usaha mendapatkan kontrak baharu bagi menyokong prestasi FY2027. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved