Kos sara hidup lebih tinggi dijangka tekan sentimen pembelian hartanah, MBSB kekal NEUTRAL

13 Aug 2026 • 10:09 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kos sara hidup lebih tinggi dijangka tekan sentimen pembelian hartanah, MBSB kekal NEUTRAL Image from: Kos sara hidup lebih tinggi dijangka tekan sentimen pembelian hartanah, MBSB kekal NEUTRAL johardy13/08/2026 - 10:09 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Kos sara hidup yang lebih tinggi boleh melemahkan sentimen pembelian hartanah di Malaysia meskipun pemaju dijangka mencatat pemulihan pendapatan pada suku kedua 2026, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan `Netural' terhadap sektor hartanah berikutan pemangkin jangka pendek yang terhad, selain menjangkakan tekanan inflasi memberi kesan sederhana terhadap sentimen pembelian.

 

Jumlah permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah berjumlah RM56.6 bilion pada Jun, hampir tidak berubah berbanding Mei dengan peningkatan 0.1% bulan ke bulan, namun 7.8% lebih tinggi berbanding setahun lalu.

 

 

 

 

 

 

 

Bagi separuh pertama 2026, jumlah permohonan pinjaman hartanah meningkat 2.5% tahun ke tahun kepada RM319.6 bilion, menunjukkan minat pembelian kekal relatif stabil meskipun berdepan tekanan daripada persekitaran kos semasa.

 

MBSB Research berkata sentimen pembelian mungkin sedikit lemah sekiranya kos sara hidup yang lebih tinggi berterusan, walaupun petunjuk pembiayaan setakat ini menunjukkan pasaran hartanah secara keseluruhannya kekal stabil.

 

Pinjaman hartanah yang diluluskan meningkat 0.1% bulan ke bulan kepada RM24.1 bilion pada Jun dan 7.8% lebih tinggi tahun ke tahun. Nisbah kelulusan pinjaman kekal tidak berubah pada 42.5%.

 

Secara kumulatif, pinjaman hartanah yang diluluskan meningkat 1.2% tahun ke tahun kepada RM134.9 bilion pada separuh pertama, menunjukkan prospek jualan baharu pemaju dijangka kekal secara relatif stabil.

 

Pendapatan bertambah baik tetapi tekanan kos berterusan

MBSB Research menjangkakan pemaju hartanah mencatat pendapatan lebih kukuh pada suku kedua berbanding suku pertama yang secara bermusim lebih lemah apabila pengebilan kemajuan terjejas akibat musim perayaan.

 

Jualan hartanah baharu juga dijangka bertambah baik berbanding 1Q26, sekali gus memberikan keterlihatan lebih baik terhadap pendapatan masa depan dan menyokong prestasi keseluruhan pemaju.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu kekal berhati-hati terhadap prospek pendapatan 2026 apabila kos pembinaan dan operasi yang lebih tinggi dijangka semakin ketara dalam suku-suku akan datang serta boleh memberi tekanan kepada margin. Jualan dan pengebilan kemajuan yang lebih baik boleh mengimbangi sebahagian daripada tekanan tersebut.

 

MBSB Research menjangkakan pendapatan bertambah baik secara berturutan pada 2Q26 tetapi secara keseluruhannya mendatar bagi tahun penuh, sambil mengekalkan Matrix Concepts Holdings Bhd, IOI Properties Group Bhd dan Mah Sing Group Bhd sebagai pilihan utama sektor itu.

 

Firma penyelidikan itu mempunyai saranan BELI terhadap Matrix Concepts, IOI Properties dan Mah Sing dengan harga sasaran masing-masing RM1.55, RM4.64 dan RM1.25.

 

 

 

 

 

 

Matrix menjadi pilihan berdasarkan jangkaan pemulihan pendapatan FY2027, penilaian menarik dan unjuran hasil dividen FY2027 sebanyak 6.1%, manakala IOI Properties berpotensi mendapat manfaat daripada pengewangan aset serta cadangan penyenaraian REIT.

 

Tumpuan Mah Sing terhadap perumahan mampu milik pula dijangka menyokong jualan baharu dan prospek pendapatannya, kata MBSB Research. — DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved