Geran perubatan RM300,000 ringankan beban ibu bapa

Health & FitnessFamily & Parenting
13 Aug 2026 • 10:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Geran perubatan RM300,000 ringankan beban ibu bapa

Bagi ibu bapa, kesihatan anak sentiasa menjadi keutamaan, terutama apabila mereka memerlukan rawatan atau prosedur perubatan bagi memastikan tumbesaran yang lebih baik.

Namun, kos rawatan yang tinggi boleh menjadi beban besar kepada keluarga kurang berkemampuan, malah ada yang terpaksa berdepan dilema antara mendapatkan rawatan diperlukan atau memenuhi keperluan harian.

Begitulah yang dilalui Simon Pong, 30, apabila anaknya, Samantha Pong, 4, disahkan mengalami masalah pendengaran dan memerlukan pembedahan implan koklea bagi membolehkannya mendengar.

Namun, kos pembedahan tersebut di luar kemampuan keluarga mereka sehingga bantuan diperlukan bagi merealisasikan rawatan berkenaan.

Menerusi Program Geran Perubatan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia), Samantha akhirnya menjalani pembedahan pada September tahun lalu.

Kini, Samantha sudah mampu mendengar dan keluarganya berharap perkembangan itu menjadi langkah awal untuk membantunya mula bertutur tidak lama lagi.

Bagi Simon, perubahan yang dilihat pada Samantha selepas menjalani pembedahan menjadi satu perkembangan yang amat bermakna buat seluruh keluarganya.

“Kami amat bersyukur kerana menerima bantuan ini. Tanpa sokongan yang diberikan, kami tidak mampu menanggung kos pembedahan tersebut.

“Pembedahan Samantha berjalan dengan lancar dan kini dia sudah boleh mendengar. Kami berharap dia dapat bertutur tidak lama lagi.

“Terima kasih kepada RMHC Malaysia, pihak hospital dan semua yang terlibat kerana merealisasikan harapan kami. Kini, Samantha akhirnya dapat mendengar suara kami,” katanya.

Image from: Geran perubatan RM300,000 ringankan beban ibu bapa

Kisah Samantha menjadi gambaran bagaimana sokongan kewangan mampu membuka peluang kepada kanak-kanak yang memerlukan untuk mendapatkan rawatan sewajarnya.

Seiring usaha berkenaan, RMHC Malaysia menyalurkan Geran Perubatan berjumlah RM300,000 kepada enam pertubuhan kebajikan hospital bagi membantu meringankan beban keluarga yang mempunyai anak memerlukan rawatan.

Geran tersebut digunakan bagi menampung sebahagian kos rawatan serta keperluan perubatan pesakit kanak-kanak yang dikenal pasti layak menerima bantuan.

Enam pertubuhan yang menerima geran berkenaan ialah Yayasan Institut Jantung Negara (Yayasan IJN), Persatuan Kebajikan Pesakit Kanak-Kanak Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (PEKA), Tabung Kebajikan Pesakit Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM (TABTAR), Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Hospital Tunku Azizah, PPUMCare, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS).

Sejak diperkenalkan pada tahun 2018, Program Geran Perubatan RMHC Malaysia sudah menyalurkan lebih RM2.4 juta kepada pertubuhan kebajikan hospital di seluruh negara.

Inisiatif itu membantu 639 kanak-kanak daripada golongan kurang berkemampuan mendapatkan sokongan kewangan bagi menjalani rawatan yang diperlukan.

Menerusi program berkenaan, pertubuhan kebajikan hospital mengenal pasti pesakit kanak-kanak yang memerlukan sokongan berdasarkan keperluan perubatan serta kemampuan kewangan keluarga masing-masing.

Geran kemudiannya disalurkan kepada pertubuhan berkenaan untuk menampung sebahagian kos rawatan dan keperluan perubatan yang berkaitan.

Rawatan pula dilaksanakan oleh pihak hospital mengikut keadaan dan keperluan setiap pesakit bagi memastikan mereka menerima penjagaan sewajarnya.

Presiden RMHC Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk menjalani kehidupan lebih baik tanpa kekangan kewangan menjadi penghalang kepada rawatan yang diperlukan.

“Apabila seorang anak jatuh sakit, ibu bapa sepatutnya dapat memberi tumpuan kepada rawatan dan pemulihannya, bukan dibebani kebimbangan sama ada mereka mampu menanggung kos yang diperlukan.

“Justeru, RMHC Malaysia terus bekerjasama dengan pertubuhan kebajikan hospital yang memainkan peranan penting dalam mengenal pasti keluarga yang memerlukan sokongan, supaya anak-anak mereka dapat meneruskan rawatan dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

Pengarah Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM (TABTAR), Prof Dr. Hamzaini Abdul Hamid berkata, geran berkenaan membantu memperkukuh sokongan kepada keluarga kurang berkemampuan yang mempunyai anak sedang menjalani rawatan di hospital tersebut.

Menurutnya, kos rawatan, peralatan perubatan serta penjagaan susulan boleh menjadi beban besar kepada sesetengah keluarga.

“Geran yang disalurkan kepada Tabung Kebajikan Pesakit TABTAR UKM membantu kami memperluaskan sokongan kepada keluarga yang layak, manakala rawatan terus diberikan oleh pasukan perubatan hospital mengikut keperluan setiap pesakit.

“Kerjasama seperti ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga ketika melalui saat-saat yang mencabar,” jelasnya.

Program Geran Perubatan merupakan antara empat inisiatif utama RMHC Malaysia dalam membantu kanak-kanak kurang berkemampuan di negara ini.

Inisiatif lain termasuk Rumah Ronald McDonald, Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald, Program Anugerah Senyuman dan Program Pek Kembali ke Sekolah.

The post Geran perubatan RM300,000 ringankan beban ibu bapa appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved