hamden05/11/2026 - 12:22 Gambaran keseluruhan Penjanaan dan Penyaluran Tenaga Sarawak - Gambar/ Sarawak Energy/ Kenanga Research Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov - Kelebihan struktur kos tenaga Sarawak berbanding Semenanjung Malaysia, disokong kapasiti asas penjanaan hidroelektrik, membolehkan negeri itu mengekalkan daya saing tarif elektrik sekali gus meningkatkan tarikannya kepada pelaburan industri baharu berbanding Semenanjung Malaysia dan negara serantau lain.
Kenanga Research dalam laporan tematik selepas mengadakan lawatan tiga hari ke Bumi Kenyalang berkata, kelebihan dari segi bekalan tenaga dan ketersediaan tanah turut menyediakan potensi pertumbuhan jangka panjang yang ketara kepada Sarawak, khususnya dalam pembangunan infrastruktur tenaga, pusat data dan sektor perindustrian bernilai tinggi.
Sarawak Energy menyasarkan peningkatan kapasiti penjanaan elektrik daripada kira-kira enam gigawatt (GW) kepada 10GW, dengan pertumbuhan kapasiti dalam tempoh terdekat dijangka dipacu dua loji turbin gas kitaran gabungan di Samalaju dan Miri yang mempunyai jumlah kapasiti sehingga 2GW.
PETROS pula bertanggungjawab memastikan bekalan gas bagi kedua-dua loji berkenaan, manakala projek hidroelektrik Baleh dijangka mula beroperasi menjelang 2030.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan tarif elektrik berpotensi meningkat apabila lebih banyak kapasiti penjanaan berasaskan gas mula beroperasi.
Namun, sebahagian besar kenaikan itu dijangka ditanggung pengguna industri baharu yang melabur di Sarawak, sekali gus membolehkan negeri itu terus menawarkan daya saing kos tenaga kepada sektor perindustrian.
Peluang terbuka projek tenaga solar
Dalam perkembangan berkaitan, tenaga solar semakin menarik di Sarawak dan Kenanga Research menjangkakan lebih banyak projek pengeluar tenaga bebas (IPP) dianugerahkan dalam beberapa tahun akan datang, selaras sasaran negeri mencapai kapasiti solar sebanyak 1.5GW menjelang 2030.
Kapasiti tambahan juga berpotensi dibangunkan selepas 2030 bagi menyokong aspirasi tenaga boleh baharu negeri itu.
Menurut firma itu lagi keterbukaan Sarawak juga semakin meningkat terhadap penyertaan modal swasta dalam aset infrastruktur sebagai peluang jangka sederhana hingga panjang kepada syarikat tempatan.
Peluang itu merangkumi pemilikan projek IPP solar, loji rawatan air dan projek hidroelektrik CPS bagi membantu membiayai pembangunan infrastruktur negeri.
Dari sudut pendedahan pelaburan, syarikat seperti Ibraco, Pansar dan Solarvest berpotensi membida bersama rakan kongsi bagi projek IPP solar, CPS serta loji rawatan air.
Sementara itu, HKB dan Kee Ming berpotensi meraih manfaat daripada kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), termasuk kerja-kerja pemasangan solar, pencawang elektrik dan pembinaan sivil.
Ekosistem semikonduktor diperkukuhkan
Selain tenaga, Sarawak turut berusaha memperkukuh ekosistem semikonduktornya dengan membangunkan keupayaan reka bentuk cip bernilai tambah lebih tinggi.
SMD memberi tumpuan kepada aplikasi tenaga boleh baharu dan infrastruktur digital, manakala KGB menawarkan pendedahan kepada perkembangan pembangunan kapasiti berkenaan.
Minat pelaburan pusat data di Sarawak juga kekal kukuh, meskipun kerajaan negeri mengambil pendekatan lebih selektif terhadap projek berskala besar dengan mengutamakan pelaburan yang mampu memberikan limpahan ekonomi bermakna.
Kenangan Research akan memantau perkembangan berhubung potensi pelaburan SoftBank bernilai AS$50 bilion di Semenanjung Malaysia dan Kuching.
Kabel dasar laut
Dalam pada itu, pengendali pusat data berskala besar (hyperscalers) berkemungkinan perlu mempertimbangkan pelaburan dalam kabel dasar laut bagi memperkukuh kesalinghubungan untuk menyokong operasi pusat data.
Secara keseluruhan, Kenanga Research melihat kelebihan bekalan tenaga dan tanah Sarawak sebagai asas penting kepada pembangunan ekonomi jangka panjang negeri berkenaan, sekali gus membuka peluang kepada syarikat tempatan menerusi pemilikan aset infrastruktur dan pelaksanaan projek pembinaan. - DagangNews.com




