hamden02/11/2026 - 10:28 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov - Usaha sama (JV) AME Elite Consortium Bhd dengan UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) untuk membangunkan tanah seluas 402 ekar di Gerbang Nusajaya dijangka memperkukuh prospek pertumbuhan jangka panjang AME, khususnya dalam merebut permintaan hartanah perindustrian di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
RHB Research berkata, pemerolehan tanah itu merupakan langkah penting bagi AME kerana ia menandakan penambahan semula rizab tanah syarikat secara signifikan buat kali pertama dalam tempoh beberapa tahun.
"Tanah berkenaan bukan sahaja lebih bersedia untuk dibangunkan, malah mempunyai kedudukan strategik bersebelahan Singapura, sekali gus membolehkan AME memanfaatkan peningkatan permintaan terhadap hartanah perindustrian di Iskandar Malaysia," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Projek JV dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM4 bilion itu dijangka dilancarkan pada 2027 dan menyediakan peluang kepada AME untuk merebut semula permintaan apabila persekitaran makroekonomi kembali pulih.
Menurut RHB Research, meskipun cabaran pasaran semasa mungkin menyebabkan minat syarikat multinasional terhadap hartanah perindustrian menjadi sederhana buat sementara waktu, permintaan jangka panjang dijangka kekal disokong inisiatif JS-SEZ serta kedudukan geografi strategik Gerbang Nusajaya.
"Dari segi lokasi, tanah berkenaan terletak kira-kira 15 minit perjalanan dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Laluan Kedua Tuas serta mempunyai akses kepada infrastruktur logistik utama termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas.
"Melalui JV dengan pegangan 50:50 bersama UEM Sunrise, AME turut dapat menguruskan pemerolehan tanah berskala besar itu dengan lebih mampu ditanggung, mengambil kira nilai serta potensi strategiknya," katanya.
Bukan JV kali pertama
Kerjasama itu juga bukan yang pertama antara kedua-dua syarikat apabila AME sebelum ini bekerjasama dengan UEM Sunrise untuk memperoleh tanah seluas 170 ekar di Southern Industrial and Logistics Clusters (SiLC) pada 2020.
Dengan pemerolehan baharu itu, jumlah rizab tanah AME dijangka meningkat kepada kira-kira 700 ekar, sekali gus memperkukuh keupayaannya melaksanakan pembangunan industri pada masa hadapan.
Dari segi kos, tanah pegangan bebas berstatus pertanian itu akan diurus niaga pada harga RM972.1 juta atau RM55.50 sekaki persegi (psf) bagi entiti JV.
Bagaimanapun, selepas mengambil kira premium penukaran status tanah, firma penyelidikan menganggarkan kos tanah efektif berada pada sekitar RM60 hingga RM62 psf.
"Kos itu hanya sedikit lebih tinggi berbanding RM59 psf yang dibayar AME bagi tanah SiLC enam tahun lalu, yang turut mempunyai keadaan infrastruktur lebih baik.
"Selain potensi pembangunan hartanah, fi pemasaran dan pengurusan projek daripada pembangunan berkenaan dijangka dapat mengimbangi kesan peningkatan perbelanjaan faedah," katanya.
Kekal saranan BELI
Dalam pada itu, firma penyelidikan mengekalkan saranan BELI terhadap AME, namun menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM2.11 daripada RM2.33.
TP baharu itu berdasarkan diskaun 50% kepada nilai aset bersih dinilai semula (RNAV), berbanding 35% sebelum ini, bagi mencerminkan cabaran pasaran susulan krisis geopolitik di Timur Tengah serta kebimbangan terhadap landskap politik tempatan.
Walaupun TP diturunkan, penilaian itu masih menawarkan potensi kenaikan sebanyak 66% serta hasil dividen kira-kira 6% bagi tahun kewangan 2027 berakhir Mac (FY27F). - DagangNews.com






