
KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperketat dasar pengambilan pekerja asing bagi mengurangkan kebergantungan industri pembuatan terhadap tenaga kerja luar, khususnya dalam pekerjaan berkemahiran rendah.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia kini mempunyai kira-kira 2.6 juta pekerja asing, sekali gus memerlukan langkah berperingkat bagi mewujudkan keseimbangan dalam pasaran buruh negara.
Menurutnya, pekerja asing sepatutnya hanya digunakan bagi pekerjaan kategori 3D iaitu berbahaya (dangerous), sukar (difficult) dan kotor (dirty).
“Kalau dahulu kita mahu nisbah 20 peratus pekerja asing dan 80 peratus pekerja tempatan, tetapi sekarang keadaannya terbalik apabila industri lebih banyak bergantung kepada pekerja asing.
“Perkara ini perlu dianalisis kerana kita juga mempunyai lebih 400,000 tenaga kerja yang telah dilatih menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk memenuhi keperluan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) di Dewan Rakyat hari ini berhubung kesukaran pengilang mendapatkan kelonggaran pengambilan pekerja asing walaupun sebahagian syarikat sudah mencapai tahap automasi maksimum.
Johari berkata, antara punca sektor pembuatan kurang menarik minat pekerja tempatan ialah tawaran gaji rendah oleh sebahagian majikan, termasuk kepada graduan TVET.
Katanya, tanggapan bahawa rakyat tempatan tidak berminat bekerja dalam sektor tertentu juga tidak tepat kerana kira-kira 100,000 rakyat Malaysia merentasi sempadan setiap hari untuk bekerja di Singapura.
“Mereka termasuk pemegang kelayakan diploma, ijazah dan sarjana. Masalahnya bukan rakyat kita tidak mahu bekerja, sebaliknya mereka akan menerima pekerjaan sekiranya nilai ekonomi yang ditawarkan setimpal dengan keperluan dan kos kehidupan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan akan lebih tegas mempertimbangkan permohonan lesen baharu bagi aktiviti perniagaan yang mempunyai operasi serupa sekiranya model perniagaannya masih bergantung kepada pekerja asing.- KOSMO! ONLINE
The post Kerajaan bakal ketatkan pengambilan pekerja asing appeared first on Kosmo Online.






