
Kota Kinabalu: Hujan tanpa henti selama beberapa jam sejak tengah hari Rabu menyebabkan beberapa kawasan rendah sini dan Penampang dinaiki air.
Antara kawasan yang terjejas di bandaraya ialah Taman Lido, Kolombong, manakala di Penampang, beberapa kawasan, termasuk Pekan Donggongon dan kawasan biasa banjir termasuk Kibabaig dan Minintod.
Hujan lebat bermula pada pukul 4 petang, menyebabkan air naik pada pukul 5 petang. Setakat jam 6 petang, air mula menunjukkan tanda-tanda surut. Persekitaran Taman Cantek yang juga dinaiki air pada petang tersebut.
Akibat banjir kilat itu, seorang bapa di Taman Cantek yang terkandas dalam perjalanan pulang terpaksa menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi membantu menyelamatkan anaknya yang bersendirian di rumah.
Jabatan Meteorologi pada Rabu mengeluarkan amaran ribut petir di Pedalaman Sabah (Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat dan Sandakan (Telupid dan Sandakan).
Sementara itu di BEAUFORT, 56 mangsa banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Semantara (PPS) di Dewan Kg Suasa di sini, bermula jam 1.16 petang, pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Muhammad Hasbullah Nenggok ketika mengesahkan perkara itu di sini pada Rabu berkata langkah itu diambil setelah Kg Suasa dinaiki air.
“Bomba menerima panggilan kecemasan untuk memindahkan semua 56 mangsa terdiri daripada 14 orang wanita dewasa, tujuh lelaki dewasa, dua warga emas lelaki, tiga warga emas wanita, 16 kanak-kanak lelaki, 13 kanak-kanak perempuan dan seorang bayi perempuan.
“Pasukan Bomba bersama agensi lain membantu memindahkan mangsa di mana sebahagian mereka dihantar ke PPS Dewan Selagon,” katanya pada Rabu.
Muhammad Hasbullah mengingatkan penduduk Kg Suasa agar lebih berhati-hati ketika berhadapan dengan banjir.
“Jangan redah banjir kerana kita tidak tahu kemungkinan ada binatang berbisa atau buaya.
“Simpan semua dokumen penting di tempat selamat dan jangan biarkan anak-anak bermain air,” katanya.
Beliau juga menggesa penduduk agar segera berpindah jika diarahkan.
Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 2:48 namun pemantauan dilokasi terjejas banjir masih dijalankan.
“Bomba sedang bersiapsiaga dengan logistik seperti bot penyelamat dan jentera seperti lori Bomba,” katanya sambil meminta orang ramai menghubungi talian 087-212025 untuk sebarang insiden kecemasan.
Sementara itu, penduduk di kawasan rendah di sini diingatkan supaya segera berpindah sekiranya diarah berbuat demikian oleh pihak penguat kuasa bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Keengganan untuk berpindah sehingga saat akhir adalah berisiko bukan sahaja untuk mereka yang terjejas tetapi juga untuk pasukan penyelamat.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam menggesa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) mengambil peranan agresif bagi membantu menjamin keselamatan penduduk.
“Sudah tentu mereka juga boleh menghubungi Unit Kemajuan Rakyat (UPPM) atau Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri atau Pejabat Daerah untuk membantu,” katanya.
Adun Lumadan itu berkata demikian ketika melawat pusat pemindahan sementara banjir di Dewan Pusat Aktiviti Desa Lestari Kg Suasa, di sini, Selasa lepas.
Pusat pemindahan sementara itu merupakan tempat perlindungan kepada 13 keluarga membabitkan 51 penduduk sejak Isnin. Bakul makanan turut diagihkan kepada 173 ketua keluarga yang terjejas akibat banjir.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah, antara lain.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

