
Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Khamis mengesahkan bahawa Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP) tidak lagi menjadi sebahagian daripada gabungan itu selepas kedua-duanya bertegas untuk bertanding menggunakan lambang parti masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.
Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan oleh Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor pada Rabu (1 Okt), yang menekankan bahawa semua parti komponen mesti kekal bersatu di bawah satu simbol dalam menghadapi pilihan raya.
Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata mesyuarat hampir dua jam itu turut membincangkan persiapan pilihan raya termasuk rundingan kerusi dengan Pakatan Harapan (PH).
“Mesyuarat memutuskan bahawa mana-mana parti komponen yang memilih untuk meletakkan calon menggunakan lambang parti sendiri dianggap telah keluar daripada GRS. Oleh itu, calon daripada parti berkenaan tidak lagi mewakili GRS dalam PRN17,” katanya.
Masidi berkata Presiden Star Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, dan Presiden SAPP Datuk Seri Yong Teck Lee, masing-masing, menyatakan hasrat untuk bertanding menggunakan lambang parti mereka sendiri sekali gus keanggotaan Star dan SAPP dalam GRS dengan sendirinya tamat.
Beliau menambah Hajiji mengingatkan semua komponen bahawa mereka mesti menghormati perjanjian kerjasama yang telah dimeterai sebelum ini dengan PH.
“Berdasarkan prinsip perpaduan GRS mesti bergerak ke hadapan sebagai satu entiti dengan semua calon bertanding di bawah lambang GRS,” tegasnya.
Menurut Masidi, Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), Parti Demokratik Liberal (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS) menghormati keputusan Star dan SAPP untuk bertanding secara solo.
Beliau berkata kedua-dua Star dan SAPP juga menghormati pendirian parti-parti komponen lain untuk kekal bersama GRS dan meneruskan kerjasama strategik dengan PH.
“Mesyuarat telah berlangsung dalam suasana penuh muhibah, mesra, ikhlas dan berterus terang. Semua pimpinan yang hadir akur dengan keputusan yang dibuat secara musyawarah dan tetap meraikan perbezaan pandangan dalam semangat demokrasi yang sihat dan matang.
“GRS akan terus memperkasakan gerak kerja dan memantapkan strategi bagi menghadapi PRN-17 dengan komitmen penuh kepada kestabilan dan kesejahteraan Sabah,” kata Masidi.
