
JAKARTA – Akibat kerap dimarahi ibu, seorang pemuda berumur 22 tahun bertindak di luar kawalan dengan membakar rumah keluarganya di Jalan Cirangrang, Kota Bandung, wilayah Jawa Barat, lapor agensi berita CNN Indonesia.
Kejadian kira-kira pukul 1.00 tengah hari (waktu tempatan) kelmarin itu turut menyebabkan dua rumah jiran bersebelahan musnah dijilat api selepas kebakaran merebak pantas.
Ketua polis tempatan Kurniawan berkata, siasatan awal mendapati suspek yang hanya dikenali sebagai AR, bertindak demikian akibat beremosi selepas dimarahi ibunya sebelum kejadian.
“Motif utama kejadian dipercayai sakit hati kerana kerap dimarahi ibu bapanya, terutamanya selepas suspek bercerai dengan isterinya, baru-baru ini,” kata Kurniawan.
Suspek menyalakan api pada motosikal yang diletakkan di dalam rumah mereka.
Api kemudian merebak, mengakibatkan keseluruhan struktur rumah serta kediaman berhampiran musnah.
Meskipun tiada nyawa terkorban, bapa suspek dilaporkan melecur pada bahagian tangan ketika cuba menyelamatkan diri.
Polis yang tiba di lokasi kejadian berjaya menahan suspek serta merampas barang kes berupa sebuah motosikal yang rentung dan dua pemetik api gas. – AGENSI
The post ‘Koyak’ kena leter, anak bakar rumah ibu bapa appeared first on Kosmo Digital.



