KPDN akan ambil tindakan tegas jika premis ayam tular di Puchong guna label halal palsu – Armizan

LocalPolitics
5 Nov 2026 • 4:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KPDN akan ambil tindakan tegas jika premis ayam tular di Puchong guna label halal palsu – Armizan Image from: KPDN akan ambil tindakan tegas jika premis ayam tular di Puchong guna label halal palsu – Armizan amree05/11/2026 - 16:55 Foto kredit Jakim Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Nov — Penggunaan label halal palsu dalam penjualan ayam boleh mengundang tindakan tegas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), susulan kontroversi premis penyembelihan ayam di Puchong, Selangor yang diserbu pihak berkuasa baru-baru ini.

 

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kementerian tersebut memang bertanggungjawab memberi tumpuan kepada aspek pelabelan halal di peringkat peruncitan bagi memastikan produk yang dipasarkan benar-benar berasal daripada sumber yang mempunyai pensijilan halal rasmi.

 

Beliau berkata, sekiranya pemeriksaan mendapati terdapat penyalahgunaan perihal dagangan yang mengelirukan masyarakat terutama umat Islam atau palsu berkaitan status halal sesuatu produk, tindakan akan diambil mengikut bidang kuasa kementerian tersebut sendiri.

 

"Apabila sesuatu produk dipasarkan di peringkat runcit dengan terdapat label halal, kita akan menyemak sama ada produk itu benar-benar berasal daripada sumber halal. Jika terdapat perihal dagangan palsu, kita akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas," tambahnya.

 

Beliau menjelaskan demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran Tealive Sparkling Crafted Tea-Prebiotic Soda pada Khamis.

 

Mengulas identiti syarikat yang dikaitkan dengan kes berkenaan, Armizan berkata siasatan sedang dijalankan secara bersama antara KPDN dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), manakala perkembangan lanjut akan diumumkan oleh jabatan agama negeri itu dari semasa ke semasa.

 

halal ayam_DagangNews2026
ZULKIFLI Hassan ketika meninjau sebuah premis sembelihan ayam di Lembah Klang. - Gambar ihsan Jakim

 

Isu itu tercetus selepas pihak berkuasa menyerbu sebuah premis di Puchong pada 30 Oktober 2026 menerusi Op Taring Chiller, yang membawa kepada rampasan lebih 6.5 tan ayam mentah disyaki diproses tanpa mematuhi keperluan penyembelihan syariah dan piawaian halal.

 

Pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan disyaki menjalankan aktiviti penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar tanpa permit serta kelulusan pihak berkuasa tempatan, selain tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan sebelum ini mengesahkan premis itu tidak tersenarai dalam rekod pemantauan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan JAIS kerana tidak memiliki sijil halal.

 

Dalam operasi berkenaan, seramai 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyembelihan serta pemprosesan ayam turut ditahan untuk siasatan.

 

Siasatan awal turut membangkitkan kebimbangan mengenai kaedah pelalian elektrik yang digunakan di premis itu, apabila ayam dipercayai mati sebelum proses penyembelihan dilakukan mengikut hukum syarak.

 

Kes berkenaan sekali gus menimbulkan perhatian terhadap kepentingan pengawasan rantaian bekalan ayam, termasuk pematuhan prosedur penyembelihan, pensijilan halal dan ketepatan pelabelan produk bagi melindungi pengguna. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved