KPDN tingkat pemantauan penggunaan logo halal, elak salah guna

4 Nov 2026 • 4:14 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: KPDN tingkat pemantauan penggunaan logo halal, elak salah guna

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus mempertingkat pemantauan terhadap penggunaan logo halal di pasaran, termasuk pembekal bagi memastikan tiada pihak menyalahgunakan perakuan berkenaan.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) KPDN Aris Mamat berkata, pihaknya boleh mengambil tindakan terhadap peniaga atau syarikat yang didapati menggunakan logo halal palsu, tidak sah atau yang telah tamat tempoh.

“Bagaimanapun, aspek pengesahan status halal sesuatu barangan makanan termasuk ayam serta kaedah penyembelihannya, berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Daripada segi KPDN, peranan kami adalah menentusahkan penggunaan logo halal yang diguna pakai oleh premis atau pembekal. Sekiranya didapati menggunakan logo halal palsu, tamat tempoh dan tidak diperbaharui, tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 peringkat Negeri Sembilan, yang turut dihadiri Pengarah KPDN negeri Muhammad Zahir Mazlan di sebuah pasar raya, di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengulas kegusaran pengguna susulan isu sembelihan ayam baru-baru ini, Aris mengakui wujud kemungkinan kebimbangan dalam kalangan masyarakat namun memberi jaminan bahawa pemantauan berkala sentiasa digerakkan.

“Pemantauan KPDN bukan terhad kepada produk ayam sahaja, sebaliknya merangkumi semua aspek perbahasan produk yang menggunakan penandaan halal di pasaran. Kita sentiasa bekerjasama dengan Jakim dalam melaksanakan pemantauan berkaitan pematuhan peraturan halal,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan orang ramai untuk menyalurkan sebarang aduan, sekiranya mengesyaki aktiviti penyalahgunaan logo halal di mana-mana premis termasuk di lokasi tersembunyi, untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Muhammad Zahir berkata, pihaknya menerima tujuh aduan berkaitan isu halal manakala satu kes penguatkuasaan direkodkan di Kuala Pilah setakat ini, membabitkan kesalahan di bawah Perintah 8(b), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Mengenai SHMMP, beliau mengingatkan semua peniaga supaya mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa, khususnya Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sepanjang tempoh pelaksanaannya selama seminggu sehingga 10 Nov ini.

“Pengguna yang mempunyai aduan berkaitan pelanggaran harga atau isu kepenggunaan boleh menyalurkannya menerusi saluran aduan disediakan KPDN dan kita memberi jaminan aduan berkenaan diberikan perhatian segera,” katanya.-BERNAMA

The post KPDN tingkat pemantauan penggunaan logo halal, elak salah guna appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved