KPDN ambil tindakan stesen minyak benarkan kenderaan asing isi RON95

LocalPolitics
15 May 2026 • 6:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: KPDN ambil tindakan stesen minyak benarkan kenderaan asing isi RON95
KPDN Cawangan Manjung membuat pemeriksaan ke atas stesen minyak yang tular sebuah kenderaan pendaftaran asing mengisi minyak petrol RON95.

MANJUNG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak mengambil tindakan terhadap sebuah stesen minyak di Ayer Tawar susulan aduan tular mengenai pengisian petrol RON95 oleh sebuah kenderaan bernombor pendaftaran asing.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, tindakan segera telah diambil oleh KPDN Cawangan Manjung sejurus menerima aduan berhubung kejadian itu.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati insiden berkenaan berlaku pada 13 Mei lalu kira-kira jam 9 malam.

"Siasatan mendapati pembelian petrol RON95 dibuat oleh seorang warga tempatan menggunakan kemudahan BUDI95 dengan pembayaran melalui kad kredit di kaunter, namun kenderaan yang digunakan disyaki menggunakan nombor pendaftaran asing.

"Semakan transaksi mendapati hanya sebahagian daripada jumlah pembelian berjaya diisi sebelum pengisian dihentikan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kamalludin berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak terbabit turut diperoleh dan sedang diteliti bagi membantu siasatan lanjut.

Menurutnya, satu tindakan kes telah diambil di bawah Subperaturan 3(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Petrol RON95) 2026 terhadap pemilik stesen kerana dipercayai melanggar Subperaturan 3(1) iaitu larangan menjual petrol RON95 kepada mana-mana individu bagi kegunaan kenderaan motor asing tanpa kebenaran bertulis Pengawal.

Jelasnya, satu lagi kes turut disiasat di bawah Subperaturan 4(3) peraturan sama terhadap pemilik kenderaan kerana dipercayai melanggar Subperaturan 4(1) iaitu larangan membeli petrol RON95 untuk kegunaan kenderaan motor asing tanpa kebenaran bertulis.

"Kesemua kesalahan itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan berikutnya.

“Bagi syarikat pula, hukuman denda boleh mencecah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan serta bersubsidi bagi membanteras ketirisan subsidi kerajaan.