
PUTRAJAYA: Kerajaan bercadang memperkenalkan rejim pelesenan bagi pengendali platform e-dagang, termasuk platform luar negara yang menawarkan perkhidmatan kepada pengguna di Malaysia, menerusi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) e-Dagang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, cadangan itu antara perkara utama yang diberi perhatian dalam usaha memperkukuh kerangka perundangan bagi mengawal selia ekosistem perdagangan elektronik negara.
Katanya, langkah berkenaan bertujuan meningkatkan akauntabiliti pengendali platform, memastikan pematuhan terhadap undang-undang negara serta mewujudkan ekosistem e-dagang yang lebih selamat, telus dan bertanggungjawab.
“Penggubalan RUU e-Dagang ini bertujuan mewujudkan kerangka perundangan lebih komprehensif, seiring perkembangan pesat ekonomi digital serta cabaran transaksi dalam talian yang semakin kompleks.
“Cadangan kawal selia ini juga akan diperhalusi dengan mengambil kira bidang kuasa kementerian dan agensi berkaitan serta keperluan pelaksanaan yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan, di sini, Rabu.
Armizan berkata, KPDN meneruskan usaha memperkukuh kerangka perundangan itu menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu bagi Penggubalan RUU e-Dagang yang dipengerusikannya.
Menurutnya, mesyuarat itu susulan persetujuan Jemaah Menteri pada 8 Julai lalu terhadap Cadangan Ketetapan Dasar bagi Penggubalan Perundangan Baharu Berkaitan e-Dagang, selain komitmen kerajaan memperkenalkan RUU berkenaan ketika pembentangan Belanjawan 2027.
Katanya, penggubalan RUU itu berteraskan empat fokus utama, iaitu perlindungan pengguna, penetapan tanggungjawab pengendali platform dan penjual dalam talian, mekanisme penyelesaian pertikaian yang cekap serta keselarasan dengan undang-undang model antarabangsa.
Menurutnya, perlindungan pengguna turut merangkumi usaha memperkukuh penguatkuasaan terhadap platform e-dagang rentas sempadan yang menawarkan produk dan perkhidmatan secara terus kepada pengguna di Malaysia.
“Selain itu, RUU ini akan memperjelas tanggungjawab platform, penjual dan pengguna bagi mewujudkan persekitaran perniagaan dalam talian yang adil, khususnya untuk melindungi kepentingan peniaga tempatan daripada persaingan tidak seimbang.
“Kerajaan mahu memastikan semua pihak, termasuk platform dan penjual dari luar negara, tertakluk kepada tahap tanggungjawab dan pematuhan yang sewajarnya.
“RUU ini turut memberi penekanan kepada penyediaan mekanisme penyelesaian pertikaian yang lebih pantas, mudah dan kos efektif, selain memastikan perundangan negara selaras dengan amalan terbaik global bagi menyokong perdagangan rentas sempadan,” katanya.






