
PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperhalusi cadangan memperkenalkan rejim pelesenan bagi pengendali platform e-dagang termasuk yang beroperasi dari luar negara.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, cadangan kawal selia menerusi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) e-Dagang itu akan diteliti dengan mengambil kira bidang kuasa kementerian dan agensi berkaitan serta keperluan pelaksanaan yang bersesuaian.
Katanya, mesyuarat jawatankuasa pemandu yang dipengerusikannya hari ini menyusul persetujuan Jemaah Menteri pada 8 Julai lalu terhadap cadangan dasar perundangan baharu berkaitan e-dagang serta pengumuman Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2027.
“Penggubalan RUU ini bertujuan mewujudkan kerangka perundangan yang lebih komprehensif seiring dengan perkembangan pesat ekonomi digital serta cabaran transaksi dalam talian yang semakin kompleks.
“Langkah ini bertujuan memperkukuh akauntabiliti platform, memastikan pematuhan terhadap undang-undang negara serta mewujudkan ekosistem e-dagang yang lebih selamat, telus dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata, perlindungan pengguna daripada amalan perdagangan tidak saksama turut menjadi fokus RUU itu termasuk melalui usaha memperkukuh penguatkuasaan terhadap platform e-dagang rentas sempadan.
Katanya, penggubalan RUU berkenaan juga memberi tumpuan kepada penyelesaian pertikaian yang lebih pantas, mudah dan kos efektif bagi semua pihak.
“Penggubalan RUU e-Dagang turut memberi penekanan kepada perlindungan kepentingan peniaga tempatan agar mereka dapat bersaing secara adil dalam pasaran digital.
“Kerajaan mahu memastikan semua pihak termasuk platform dan penjual dari luar negara, tertakluk kepada tahap tanggungjawab dan pematuhan yang sewajarnya,” katanya. –UTUSAN
The post KPDN perhalusi cadangan lesen platform e-dagang appeared first on Utusan Malaysia.






