PUTRAJAYA – Kerajaan sedang memperhalusi cadangan memperkenalkan rejim pelesenan terhadap pengendali platform e-dagang, termasuk yang beroperasi dari luar negara tetapi menawarkan perkhidmatan kepada pengguna di Malaysia, menerusi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) e-Dagang.
Menerusi kenyataan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, cadangan kawal selia itu bertujuan memperkukuh akauntabiliti platform, memastikan pematuhan terhadap undang-undang negara serta mewujudkan ekosistem e-dagang yang lebih selamat, telus dan bertanggungjawab.
“Langkah ini bertujuan memperkukuh akauntabiliti platform, memastikan pematuhan terhadap undang-undang negara serta mewujudkan ekosistem e-dagang yang lebih selamat, telus dan bertanggungjawab,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu bagi Penggubalan RUU e-Dagang, di sini pada Rabu.
Menurut Armizan, cadangan kawal selia berkenaan akan diperhalusi dengan mengambil kira bidang kuasa kementerian dan agensi berkaitan serta keperluan pelaksanaan yang bersesuaian.
Beliau berkata, penggubalan RUU e-Dagang itu turut memberi penekanan kepada perlindungan kepentingan peniaga tempatan supaya mereka dapat bersaing secara adil dalam pasaran digital.
“Kerajaan mahu memastikan semua pihak, termasuk platform dan penjual dari luar negara, tertakluk kepada tahap tanggungjawab dan pematuhan yang sewajarnya,” katanya.
RUU berkenaan turut memberi tumpuan kepada perlindungan pengguna daripada amalan perdagangan tidak adil, penetapan tanggungjawab pengendali platform dan penjual dalam talian serta penyediaan mekanisme penyelesaian pertikaian yang lebih pantas, mudah dan kos efektif.
Armizan berkata, penggubalan RUU itu bertujuan mewujudkan kerangka perundangan yang lebih komprehensif, seiring perkembangan pesat ekonomi digital serta cabaran transaksi dalam talian yang semakin kompleks.






