KPDN Johor ambil tindakan terhadap kedai makanan laut viral yang didakwa mengenakan caj mahal RM1,260 terhadap selebriti

5 Oct 2023 • 4:22 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Susulan tular dakwaan seorang selebriti wanita yang tidak berpuas hati dikenakan caj RM1,260 ketika menjamu selera di premis berkenaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor telah mengambil tindakan terhadap peniaga terbabit.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Ponromo berkata, peniaga berkenaan diberikan notis mengambil Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna kerana harga yang mengelirukan.

Selain itu, premis tersebut juga diberikan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2001 supaya mengemukakan maklumat untuk pengiraan pencatutan.

“Penguat kuasa sudah memantau harga dan operasi kedai makan itu dan sudah mengambil tindakan sesuai. Bagaimanapun kes masih dalam siasatan,” katanya memetik laporan daripada Berita Harian.

Berita berkaitan:

Terdahulu, selebriti Ekin Rahmat, isteri kepada penyanyi dan penyampai radio, Mawi, meluahkan rasa tidak puas hatinya selepas dikenakan caj RM1,260 selepas makan malam di kedai makanan laut itu di medan selera, Johor Bahru.

Dalam hantaran yang dikongsikan di Facebooknya itu, Ekin turut memetik nama KPDN untuk menyiasat premis tersebut.

Bagaimanapun, pemilik kedai itu tampil memberi penjelasan di mana Ekin datang bersama keluarganya kira-kira 20 orang termasuk kanak-kanak.

Antara makanan yang dipesan adalah ikan pari bakar, siakap tiga rasa, siakap stim, udang butter, sotong goreng tepung, ketam, telur dadar, siput gonggong dan minuman.

Pemiliknya turut memperincikan pengiraan setiap hidangan yang dipesan dan meminta Ekin berjumpa dengannya sekiranya masih kurang jelas.

Tetapi Ekin menafikan dakwaan membawa 20 orang ahli keluarga. Sebaliknya hanya 16 orang sahajak etika itu.

“Kami makan tak sampai 20 orang, semuanya 16 orang termasuk bayi dan empat kanak-kanak. Takkan itu pun mereka nak ikut kepala?” katanya.

Tambahnya, mereka sudah bertanya mengenai harga bagi setiap hidangan. Tetapi dimaklumkan harga akan dikira selepas pesanan dibuat.