KPDN Selangor Bongkar Aktiviti Penjualan Petrol Dalam Botol, Premis Beroperasi Tanpa Lesen Barang Kawalan

20 Nov 2026 • 10:48 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

KPDN Selangor Bongkar Aktiviti Penjualan Petrol Dalam Botol, Premis Beroperasi Tanpa Lesen Barang Kawalan

KLANG, 18 November 2026 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Selangor telah melaksanakan Operasi Bersepadu bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sekitar Pulau Indah, Klang, susulan aduan orang ramai berhubung aktiviti perniagaan yang dijalankan di kawasan berkenaan. Operasi ini bertujuan mengesan serta mengambil tindakan terhadap aktiviti perniagaan yang disyaki melanggar peruntukan undang-undang berkaitan perdagangan dan barang kawalan.

Operasi yang bermula pada lebih kurang jam 11.00 pagi tersebut telah diketuai oleh Pengarah KPDN Negeri Selangor, Tuan Muhamad Hanif bin Dato' Asa'ari, melibatkan kekuatan seramai 23 pegawai dan anggota KPDN serta enam pegawai dan anggota SSM. Sebanyak 12 premis perniagaan telah diperiksa bagi memastikan pematuhan undang-undang, khususnya berkaitan pengurusan perniagaan, pendaftaran serta urus niaga barang kawalan.

Image from: KPDN Selangor Bongkar Aktiviti Penjualan Petrol Dalam Botol, Premis Beroperasi Tanpa Lesen Barang Kawalan
Image from: KPDN Selangor Bongkar Aktiviti Penjualan Petrol Dalam Botol, Premis Beroperasi Tanpa Lesen Barang Kawalan
Image from: KPDN Selangor Bongkar Aktiviti Penjualan Petrol Dalam Botol, Premis Beroperasi Tanpa Lesen Barang Kawalan

Dalam pemeriksaan terhadap sebuah premis, pasukan penguat kuasa telah menemukan aktiviti penjualan barang kawalan termasuk petrol, minyak masak dan tepung gandum. Pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan disyaki menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen atau dokumen kebenaran yang sah.

Penemuan utama operasi ialah sebanyak 65 liter petrol yang disyaki dijual secara runcit menggunakan bekas atau botol telah disita untuk tujuan siasatan lanjut. Aktiviti penjualan petrol tanpa kebenaran yang sah merupakan satu kesalahan serius dan boleh menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna serta orang awam. Tindakan kes telah diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, dengan kesalahan disyaki melibatkan urusan barang kawalan tanpa lesen yang sah, sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Selain petrol, pemeriksaan turut menemukan pelbagai barang kawalan lain yang disita, termasuk minyak masak dan tepung gandum dalam pelbagai jenama serta kuantiti, selain beberapa bekas penyimpanan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan. Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM849.65.

Baca juga:

Hasil pemeriksaan lain yang dijalankan, KPDN Negeri Selangor telah mengeluarkan sebanyak 11 kompaun bernilai RM2,700.00, melibatkan lima (5) kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta enam (6) kompaun di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972. Selain itu, satu (1) tindakan kes turut diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 berhubung kesalahan urus niaga barang kawalan tanpa lesen yang sah.

Sementara itu, SSM turut mengeluarkan empat (4) kompaun terhadap tiga (3) premis perniagaan, dengan nilai keseluruhan kompaun sebanyak RM2,000.00, atas ketidakpatuhan yang dikesan di bawah peruntukan berkaitan.

Secara keseluruhannya, operasi bersepadu ini menghasilkan 15 kompaun berjumlah RM4,700.00 serta satu (1) tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, mencerminkan komitmen berterusan agensi penguat kuasa dalam memastikan pematuhan undang-undang dan membanteras aktiviti perdagangan yang menyalahi peraturan.

Image from: KPDN Selangor Bongkar Aktiviti Penjualan Petrol Dalam Botol, Premis Beroperasi Tanpa Lesen Barang Kawalan
Image from: KPDN Selangor Bongkar Aktiviti Penjualan Petrol Dalam Botol, Premis Beroperasi Tanpa Lesen Barang Kawalan
Image from: KPDN Selangor Bongkar Aktiviti Penjualan Petrol Dalam Botol, Premis Beroperasi Tanpa Lesen Barang Kawalan

KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat agar sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan. Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan:

  • Orang Perseorangan: Denda tidak melebihi RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) atau penjara tidak melebihi tiga (3) tahun atau keduaduanya sekali. Bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) atau penjara tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali.

  • Syarikat / Badan Berkanun: Denda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta), manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).

Operasi bersama ini jelas membuktikan komitmen berterusan serta kesiapsiagaan agensi penguatkuasaan kerajaan dalam memperkukuh kerjasama strategik. Langkah proaktif ini diambil bagi memastikan pematuhan undang-undang yang menyeluruh, sekali gus melindungi kepentingan pengguna serta memelihara kesejahteraan awam di negara ini.

KPDN ingin memperingatkan kepada semua peniaga dan masyarakat agar sentiasa mematuhi undang-undang yang berkuatkuasa. Tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati ingkar.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti perniagaan yang disyaki melanggar mana-mana peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa KPDN diseru untuk tampil menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran aduan berikut:

  1. Whatsapp 019-848 8000

  2. Call Centre 1-800-886-800

  3. Emel e-aduan@kpdn.gov.my

  4. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved