
PETALING JAYA – Lesen pemilik stesen minyak di Nibong Tebal, Pulau Pinang yang disyaki menyalahgunakan subsidi petrol dan diesel di bawah program Budi Madani boleh digantung atau dibatalkan sekiranya didapati bersalah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, laporan polis sudah dibuat dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta KPDN.
“Laporan polis sudah dibuat dan sekarang siasatan sedang berlangsung membabitkan pelbagai pihak yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KPDN.
“Di pihak KPDN, sekiranya didapati bersalah nanti, antara tindakan yang boleh kita laksanakan adalah menggantung atau membatalkan lesen barang kawalan berjadual (CSA) pemilik stesen minyak berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Armizan, kesalahan memanipulasi subsidi itu memberikan implikasi kewangan yang besar, justeru KPDN memandang serius penyelewengan berkenaan selaku agensi yang mengawal selia barang kawalan berjadual.
Terdahulu, Kementerian Kewangan menyekat sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi di bawah Budi Madani selepas mengesan transaksi mencurigakan yang disyaki membabitkan penyalahgunaan subsidi.
Semakan terhadap rekod transaksi stesen minyak itu mendapati lebih 1,000 transaksi menggunakan kaedah pintasan manual, membabitkan lebih 100,000 liter petrol dengan nilai subsidi kerajaan melebihi RM270,000.
Tindakan itu diambil susulan aduan beberapa penerima Budi Madani yang mendapati maklumat MyKad mereka digunakan tanpa pengetahuan untuk membeli petrol bersubsidi. – KOSMO! ONLINE
The post Lesen stesen minyak boleh dibatal jika seleweng subsidi appeared first on Kosmo Online.






