TAIPING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 3,200 liter minyak diesel bersama sebuah lori yang diubah suai dalam serbuan Ops Tiris 4.0 di sebuah stor simpanan diesel tanpa lesen di Kampung Ayer Puteh, Simpang di sini pada Khamis.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan kira-kira jam 6.30 pagi itu dilakukan hasil risikan berhubung kegiatan penyelewengan minyak diesel yang dipercayai diperoleh daripada pemandu lori syarikat pengangkutan yang tidak amanah.
Menurutnya, pemantauan selama seminggu berjaya mengenal pasti sebuah lori kargo tiga tan jenis Nissan Diesel yang disyaki digunakan dalam kegiatan berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati lori tersebut telah diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan berkapasiti kira-kira 4,500 liter yang diletakkan di bahagian muatan bagi tujuan mengumpul diesel.
“Sindiket ini dipercayai menjalankan aktiviti mereka pada lewat pagi bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kamalludin berkata, modus operandi sindiket terbabit adalah membeli dan memindahkan minyak diesel ke dalam tangki yang telah diubah suai sebelum disimpan di lokasi berkenaan.
**media[3541151]**
Dalam operasi itu, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang merupakan pemilik stor berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, lelaki yang ditahan itu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan Malaysia bagi urusan yang melibatkan barang kawalan.
Kamalludin berkata, pihaknya turut menyita sebuah lori tiga tan jenis Nissan Diesel, dua tangki IBC, tiga pam beserta hos, 15 jeriken, 18 tong dram, sebuah tangki fiber serta dokumen berkaitan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM102,909.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Katanya, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat atau badan korporat boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan dan barang bersubsidi bagi membanteras ketirisan subsidi kerajaan.






