Lelaki 61 tahun seleweng diesel di empat stesen terbongkar

21 May 2026 • 11:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki 61 tahun seleweng diesel di empat stesen terbongkar
Sebuah tong IBC berkapasiti 1,000 liter yang penuh berisi cecair disyaki diesel disembunyikan dalam lori. Foto KPDN KEDAH
Image from: Lelaki 61 tahun seleweng diesel di empat stesen terbongkar
Sebuah tong IBC berkapasiti 1,000 liter yang penuh berisi cecair disyaki diesel disembunyikan dalam lori. Foto KPDN KEDAH

SUNGAI PETANI – Taktik seorang pemandu lori ais membeli diesel di empat stesen minyak berbeza bagi mengelak dikesan pihak berkuasa akhirnya terbongkar selepas ditahan dalam satu serbuan di Legenda Heights di sini pada Rabu.

Lelaki tempatan berusia 61 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sungai Petani kira-kira jam 11 pagi hasil risikan dan intipan yang dijalankan selama dua minggu.

Ketika serbuan dilakukan, pihak penguat kuasa menemukan sebuah tong Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter yang penuh berisi cecair disyaki diesel disembunyikan dalam lori dipandunya.

Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai membeli diesel berkenaan secara berperingkat di empat stesen minyak sekitar Sungai Petani sebelum dikumpulkan dalam tong tersebut.

KPDN memaklumkan, nilai diesel yang dirampas dianggarkan RM7,305 manakala keseluruhan nilai sitaan termasuk lori dan peralatan lain berjumlah RM38,005.

**media[3527799]**

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu diesel tanpa permit menyimpan yang sah.

Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

KPDN Kedah dalam kenyataannya memberi amaran keras bahawa sebarang cubaan menyeleweng subsidi diesel merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat dan negara.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan tegas akan terus dilaksanakan tanpa kompromi terhadap individu atau sindiket yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan.

Pada masa sama, orang ramai termasuk pengguna, peniaga dan pemain industri diseru bersama-sama menyokong gerakan KITA GEMPUR bagi membanteras manipulasi serta ketirisan subsidi negara.