PRN Melaka: Pas guna lambang bulan jika PN ada masalah

LocalPolitics
23 Oct 2026 • 2:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: Pas guna lambang bulan jika PN ada masalah
Tuan Ibrahim

KOTA BHARU – Pas bersedia menggunakan lambang bulan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya timbul sebarang halangan terhadap penggunaan logo Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu sebagai persediaan susulan perkembangan berkaitan status pendaftaran PN yang kini menjadi subjek semakan dan prosiding mahkamah.

Menurut beliau, dari sudut perundangan, logo yang telah diserahkan, diterima dan disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh dibatalkan sewenang-wenangnya.

“Dari segi undang-undang, apabila sesuatu logo telah diserahkan, diterima dan disahkan oleh SPR selepas pembubaran, ia tidak boleh dibatalkan di tengah jalan kerana kuasa penuh terletak di bawah SPR.

“Walau bagaimanapun, jika ia berlaku sebelum proses penamaan calon, kita menyatakan kesediaan untuk menggunakan logo Pas sekiranya diarahkan berbuat demikian,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Terdahulu, beliau menyampaikan ceramah pada Kuliah Pagi Jumaat Perdana sempena Karnival Rakyat 36 Tahun Membangun Bersama Islam (MBI) di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV.

Pada Selasa lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dan representasi yang dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.

RoS memaklumkan keputusan itu dibuat selepas meneliti dokumen serta penjelasan yang dikemukakan PN susulan notis bertarikh 22 September 2026.

Bagaimanapun, pada Khamis, PN memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi untuk menggantung sementara pelaksanaan keputusan RoS tersebut.

Peguam PN, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, keputusan itu membolehkan gabungan berkenaan mengekalkan status quo sementara menunggu penyelesaian kes utama yang mencabar tindakan RoS.

Menurutnya, keputusan mahkamah itu turut membolehkan PN meneruskan aktiviti politik termasuk bertanding dalam pilihan raya menggunakan logo gabungan berkenaan.

“Kita boleh bertanding, bermaksud kita boleh guna logo, bermaksud kita boleh teruskan dengan segala aktiviti dan kegiatan kita, termasuklah di Melaka dan nanti di Sarawak,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved