KPJ Healthcare terima dua pengiktirafan dalam Anugerah ESG dan CSR Malaysia 2025

22/07/2025 - 11:47
KPJ Healthcare menerima dua pengiktirafan utama dalam Anugerah Kelestarian & CSR Malaysia 2025 baru-baru ini Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 22 Julai – KPJ Healthcare Bhd terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam penjagaan kesihatan bertanggungjawab apabila meraih dua pengiktirafan utama dalam Anugerah Kelestarian & CSR Malaysia ke-10 tahun 2025 yang berlangsung baru-baru ini.
KPJ Healthcare menerima Anugerah Syarikat Terbaik untuk kecemerlangan berterusan dalam kelestarian dan dinobatkan sebagai Kumpulan Penjagaan Kesihatan Terbaik bagi kategori Juara ESG.
Kedua-dua anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Pengiktirafan yang diterima dalam anugerah berprestij itu mencerminkan komitmen KPJ Healthcare terhadap amalan tadbir urus beretika, penjagaan komuniti dan pemeliharaan alam sekitar, selaras dengan agenda transformasi Kumpulan di bawah KPJ Health System.


Presiden dan Pengarah Urusannya, Chin Keat Chyuan berkata, anugerah itu juga membuktikan iltizam berterusan KPJ Healthcare dalam memperkukuh kemampanan dan menyampaikan penjagaan kesihatan yang inklusif.
“Menerusi pendekatan holistik berpaksikan prinsip Care for Life, kami mencipta nilai untuk pesakit, memperkasakan warga kerja, memajukan ilmu penjagaan kesihatan, memupuk kolaborasi serta memelihara alam sekitar.
"Berpandukan Rangka Kerja Kelestarian Penjagaan Kesihatan Hijau dan Dasar Kemampanan Kumpulan, kami terus mempergiat pelaksanaan inisiatif ESG secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.

Antara inisiatif utama yang menzahirkan komitmen sosial KPJ Healthcare adalah Klinik Waqaf An-Nur (KWAN), yang diwujudkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, majlis agama dan penderma.
KWAN kini mengendalikan lapan klinik tetap, lapan pusat dialisis dan sembilan klinik bergerak, serta telah memberi rawatan kepada lebih dua juta pesakit daripada komuniti berpendapatan rendah di seluruh negara.
Terbaharu, KPJ Healthcare memperluas perkhidmatan Klinik Bergerak KWAN ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru bagi meningkatkan akses kepada penjagaan primer dan mengurangkan beban di jabatan kecemasan hospital.
KPJ Healthcare turut komited terhadap penyediaan penjagaan berkualiti tinggi yang mudah diakses serta mengintegrasikan elemen kemampanan dan tanggungjawab sosial dalam setiap aspek operasinya.
Melalui transformasi berterusan di bawah KPJ Health System, Kumpulan menyatukan penjagaan klinikal, pendidikan dan penyelidikan ke arah memberi impak positif kepada masyarakat. - DagangNews.com
standard



