johardy04/08/2026 - 08:30 Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim bersama Tan Sri Dato’ Sri Dr Ismail Haji Bakar, Dr Wan Najmi Wan Daud dan Prof. Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid pada sesi pemotongan reben sempena pelancaran Klinik Ortopedik baharu di KPJ Penang Specialist Hospital pada 3 Ogos 2026. - Gambar KPJ Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Ogos – KPJ Healthcare Berhad melancarkan Pusat Kecemerlangan Ortopedik dan Reumatologi pertamanya di KPJ Penang Specialist Hospital bagi menyediakan rawatan lebih menyeluruh untuk masalah tulang, sendi, otot serta penyakit berkaitan reumatologi.
Pusat itu merupakan Pusat Kecemerlangan ketiga yang ditubuhkan di bawah Sistem Kesihatan KPJ selepas Pusat Kecemerlangan Jantung dan Paru-Paru di Johor Specialist Hospital serta Pusat Kecemerlangan Neurosains dan Strok di Damansara Specialist Hospital 2.
Sebagai sistem kesihatan akademik bersepadu swasta pertama di Malaysia, KPJ menggabungkan amalan klinikal, pendidikan, penyelidikan dan inovasi dalam penyampaian rawatan khusus.
Pusat baharu itu menghimpunkan kepakaran ortopedik, reumatologi dan rehabilitasi menerusi satu model rawatan yang diselaraskan bagi membantu pengurusan kes yang lebih kompleks.
Kemudahan konsultasi, pengimejan diagnostik, bilik rawatan dan rehabilitasi termaju ditempatkan di satu aras bagi melancarkan perjalanan pesakit daripada peringkat diagnosis sehingga rehabilitasi dan pemulihan.
Antara perkhidmatan yang disediakan ialah ortopedik am, pembedahan tulang belakang, penggantian sendi, artroskopi dan pembedahan sukan, pembedahan kaki dan buku lali, pembedahan tangan dan mikro, ortopedik kanak-kanak, pengurusan trauma dan patah tulang, reumatologi serta perkhidmatan pengurusan kesakitan.
Teknologi AI sokong ketepatan pembedahan
Keupayaan pusat itu turut diperkukuh menerusi pembedahan penggantian sendi berbantu kecerdasan buatan (AI), sistem navigasi berbantu komputer dan teknik pembedahan invasif minimum.
Teknologi tersebut menyokong ketepatan pembedahan yang lebih tinggi, peningkatan pergerakan pesakit serta pemulihan fungsi yang lebih pantas.


Pusat itu turut menawarkan program rehabilitasi yang disesuaikan mengikut keadaan pesakit, termasuk selepas pembedahan tulang belakang, kecederaan sukan dan rawatan ortopedik kanak-kanak.
Program berkenaan disokong oleh teknologi khusus seperti "anti-gravity treadmill" yang membantu pesakit menjalani latihan pergerakan dengan mengurangkan beban pada bahagian tubuh tertentu.
Pengerusi Majlis Tadbir Urus Sistem Kesihatan KPJ, Pengerusi KPJ Healthcare University Sdn. Bhd. serta Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, KPJ mahu setiap Pusat Kecemerlangan terus berkembang sehingga mampu dinaik taraf menjadi sebuah institut.
Menurut beliau, institut berkenaan diharapkan dapat menjadi destinasi utama dalam disiplin klinikalnya, menghasilkan penyelidikan yang diterbitkan, melatih pemimpin perubatan tempatan dan antarabangsa serta menjadi rakan pilihan industri, institusi akademik dan kerajaan.
KPJ sasar 15 Pusat Kecemerlangan menjelang 2030
Penubuhan pusat itu merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang KPJ Healthcare untuk mewujudkan 15 Pusat Kecemerlangan di seluruh negara menjelang 2030 di bawah Sistem Kesihatan KPJ.
Menerusi model hab bersepadu yang diterajui KPJ Penang Specialist Hospital bersama KPJ Selangor Specialist Hospital, kedua-dua hospital dapat berkongsi kepakaran, standard klinikal, penyelidikan dan kerjasama pelbagai disiplin.
Pendekatan itu turut menyediakan asas kepada penggunaan kecerdasan buatan, genomik dan penjagaan berasaskan nilai dalam perkhidmatan kesihatan khusus.
KPJ Penang merupakan sebuah hospital tertiari dengan 270 katil yang disokong lebih 50 pakar pemastautin merangkumi lebih 20 kepakaran perubatan.
Menurut KPJ Healthcare, pesakit akan mendapat akses lebih luas kepada rawatan ortopedik termaju yang menunjukkan hasil penilaian pesakit lebih baik dan tempoh kemasukan ke hospital yang lebih singkat.

KPJ Penang juga merupakan hospital pertama di Wilayah Utara yang menyediakan pengurusan penjagaan luka termaju.
Dengan kerjasama KPJ Healthcare University, hospital itu sedang membangunkan program penjagaan luka jarak jauh berbantu AI pertama di Malaysia.
Majlis pelancaran di KPJ Pulau Pinang itu turut dihadiri oleh Tan Sri Dato’ Sri Dr Ismail Haji Bakar, Pengerusi KPJ Healthcare Berhad; Chin Keat Chyuan, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad; Dr Wan Najmi Wan Daud, Pengarah Perubatan KPJ Penang Specialist Hospital dan Prof. Dato’ Dr Hanafiah Harunarashid, Ketua Pengarah Perubatan KPJ Healthcare Berhad. - DagangNews.com




