liza26/10/2026 - 10:08 Datuk Seri Noraini Ahmad Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Okt – Cadangan pengecualian cukai eksport minyak sawit mentah (MSM) sebanyak 10% bagi November masih dalam perbincangan dan memerlukan pertimbangan Kementerian Kewangan (MoF) sebelum sebarang keputusan dibuat, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad.
Beliau berkata, cadangan yang dikemukakan oleh pemain industri itu masih di peringkat perancangan dan perlu diperhalusi dengan lebih terperinci.
"Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkaitan sebelum membawanya kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan.
“Apa juga cadangan yang dibawa oleh industri, sudah semestinya keputusan itu perlu kita bawa kepada Kementerian Kewangan. Setakat ini ia masih lagi di dalam perancangan dan memerlukan perbincangan lebih lanjut,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan majlis penutupan Acara Kemuncak Program Hackathon AI Muda\@NADI 2026.
Tangani lebihan bekalan, tingkatkan daya saing eksport
Cadangan pengecualian cukai itu dilaporkan bertujuan menangani lebihan bekalan minyak sawit dalam negara selain meningkatkan daya saing eksport komoditi berkenaan.
Menurut Public Investment Bank Bhd (PIVB), cadangan itu timbul ketika Malaysia berusaha meningkatkan penghantaran minyak sawit ke pasaran luar negara dalam keadaan inventori yang tinggi.
Pengecualian cukai eksport berkenaan, sekiranya dilaksanakan, dijangka menjadi antara langkah yang boleh dipertimbangkan bagi membantu usaha meningkatkan eksport minyak sawit Malaysia. Bagaimanapun, pelaksanaannya masih bergantung pada keputusan kerajaan.
Sebelum ini, cadangan itu mendapat pelbagai maklum balas dari pelbagai pihak yang mengaitkannya dengan risiko kehilangan hasil kerajaan dan pentingnya tempoh masa pengecualian cukai itu dimuktamadkan sekiranya dilaksanakan.
Pengarah Eksekutif ESG Malaysia, Dr Harald Sippel berkata pengecualian cukai itu boleh meningkatkan eksport dalam jangka pendek, tetapi tidak mungkin menghapuskan sepenuhnya jurang harga antara minyak sawit Malaysia dengan Indonesia atau menjamin daya saing jangka panjang industri tempatan.
Menurut beliau, stok minyak sawit Malaysia meningkat kepada 3.5 juta tan pada bulan lalu yang memberi tekanan kepada pengeksport ketika minyak sawit Indonesia terus diniagakan pada harga lebih rendah.
Malaysia mengenakan cukai eksport CPO sebanyak 10%, bersamaan kira-kira RM450 setan berdasarkan harga semasa, manakala CPO Indonesia diniagakan RM700 hingga RM900 setan lebih murah berbanding produk Malaysia.
Hasil kerajaan berpotensi susut ratusan juta ringgit
Dari sudut fiskal, Sippel menganggarkan setiap sejuta tan CPO yang dieksport tanpa cukai akan mengurangkan hasil kerajaan kira-kira RM450 juta berdasarkan harga semasa.
Sebahagian kehilangan hasil itu berpotensi diimbangi oleh peningkatan kutipan cukai korporat dan levi keuntungan luar biasa sekiranya aktiviti industri bertambah baik, namun jumlah berkenaan tidak semestinya dapat menggantikan keseluruhan hasil yang dilepaskan.
Justeru, beliau berpandangan sebarang pengecualian perlu mempunyai tempoh pelaksanaan yang jelas serta syarat penamatan bagi mengelakkan bantuan sementara itu bertukar menjadi subsidi kekal kepada industri. - DagangNews.com





