johardy13/08/2026 - 12:51 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com PUTRAJAYA 13 Ogos - Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mahu memperkukuh keseluruhan ekosistem agrikomoditi dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada pengeluaran, tetapi juga peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi, pembangunan produk hiliran, peluasan pasaran dan peningkatan pendapatan pekebun kecil.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, usaha itu merangkumi semua sektor di bawah kementerian iaitu sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf yang masing-masing mempunyai kekuatan, cabaran dan peluang yang perlu diberikan perhatian.
Pada masa sama, katanya, kementerian perlu terus membangunkan bidang baharu seperti biobahan api dan biojisim, selain meningkatkan penyertaan generasi muda melalui Skuad Agrikomoditi KPK.
“Kita juga perlu memperluas pasaran bagi produk agrikomoditi Malaysia, menggalakkan pengkomersialan hasil penyelidikan dan menghasilkan lebih banyak produk bernilai tambah,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Santunan Bakti KPK Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Noraini berkata, langkah itu merupakan antara usaha yang dapat memperkukuh daya saing sektor agrikomoditi dalam jangka panjang.

Pencapaian 2025 tidak boleh jadikan KPK selesa
Sektor agrikomoditi menyumbang RM90.96 bilion atau 5.24% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada 2025, meningkat 4.01% berbanding RM87.46 bilion pada 2024.
Bagaimanapun, Noraini berkata, pencapaian pada 2025 tidak boleh menjadikan kementerian selesa, sebaliknya perlu menjadi asas untuk bekerja dengan lebih tersusun bagi mengekalkan momentum, menangani cabaran semasa dan memastikan sektor agrikomoditi terus memberikan sumbangan yang kukuh kepada ekonomi negara.
Memasuki 2026, sektor pertanian berkembang 2.6% pada suku pertama, disokong antaranya oleh prestasi subsektor kelapa sawit.
Namun, beliau berkata, prestasi sektor itu boleh berubah mengikut keadaan pengeluaran, harga pasaran dan perkembangan ekonomi global, manakala anggaran awal bagi suku kedua menunjukkan wujud tekanan terhadap sektor pertanian termasuk subsektor kelapa sawit.
“Anggaran awal bagi suku kedua menunjukkan wujud tekanan terhadap sektor pertanian, termasuk subsektor kelapa sawit,” katanya.
Noraini berkata, pencapaian sektor agrikomoditi perlu menjadi asas kepada usaha mengekalkan momentum, menangani cabaran semasa dan memastikan sektor itu terus memberikan sumbangan yang kukuh kepada ekonomi negara. - DagangNews.com






