KPKM fokus tingkat pengeluaran komoditi Kadar Sara Diri rendah 

LocalFood
30 Jul 2026 • 2:15 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: KPKM fokus tingkat pengeluaran komoditi Kadar Sara Diri rendah 

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi tumpuan kepada peningkatan pengeluaran komoditi agromakanan yang masih mencatatkan Kadar Sara Diri (SSR) rendah bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan.

Timbalan Menterinya, Datuk Chan Foong Hin berkata, antara komoditi yang masih memerlukan perhatian ialah halia dengan SSR sebanyak 15.5 peratus, mangga (20 peratus), beras (kira-kira 52 peratus) dan susu segar (66.7 peratus).

Katanya, usaha meningkatkan SSR tidak boleh dilaksanakan secara menyeluruh bagi semua komoditi kerana perlu mengambil kira faktor kesesuaian tanaman serta pertimbangan komersial.

“Bukan semua makanan ini sesuai ditanam di Malaysia. Jadi, terdapat faktor komersial lain yang perlu dipertimbangkan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Abdul Nasir Idris mengenai komoditi utama yang menyumbang kepada nilai import agromakanan negara yang mencecah RM93.7 bilion pada 2024, selain meminta penjelasan sama ada Kerajaan Persekutuan bercadang menyediakan insentif atau bayaran khusus kepada Kedah atas komitmen negeri itu mengekalkan tanah sawah.

Mengulas lanjut, Foong Hin berkata, kerajaan kini mengutamakan komoditi strategik yang berpotensi ditingkatkan pengeluarannya termasuk jagung bijian bagi memastikan bekalan input penternakan negara sentiasa mencukupi.

“Selain meningkatkan pengeluaran domestik,  kerajaan turut memperkukuh kesiapsiagaan bekalan makanan melalui pengurusan stok penimbal.

“Ini termasuk memastikan stok fizikal beras negara berjumlah 1.05 juta tan metrik setakat 7 Julai lalu mencukupi untuk keperluan negara selama 6.23 bulan,” katanya.

Menjawab isu bekalan makanan ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, beliau berkata, KPKM sedang bekerjasama dengan PLANMalaysia bagi membangunkan Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara bagi melindungi kawasan pengeluaran makanan.

Katanya, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak boleh mengemukakan cadangan menerusi Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN) untuk mendapatkan dana Kerajaan Persekutuan bagi membangunkan sektor pertanian di kawasan terpilih. – UTUSAN 

The post KPKM fokus tingkat pengeluaran komoditi Kadar Sara Diri rendah  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved