KPKM jelaskan punca pemutuan padi 46.2 peratus di Terengganu

15 Sep 2026 • 3:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: KPKM jelaskan punca pemutuan padi 46.2 peratus di Terengganu
KPKM kekal memelihara kebajikan pesawah serta memastikan kecekapan industri padi dan beras negara sentiasa berada di tahap terbaik.

PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengesahkan proses pemeriksaan dan penentuan kualiti padi di Kilang Beras Bernas (KBB) Bukit Kenak, Terengganu dijalankan mengikut piawaian ditetapkan.

​KPKM dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, penjelasan itu dibuat susulan hantaran video tular di media sosial baru-baru ini berhubung ketidakpuasan hati seorang pesawah mengenai kadar pemutuan padi sebanyak 46.2 peratus di kilang berkenaan.

​Menurut kenyataan itu, Seksyen Kawalselia Padi dan Beras (KPB) telah melaksanakan semakan terperinci ke atas rekod transaksi serta prosedur pengujian kualiti padi terbabit pada 8 September lalu bagi memastikan ketelusan dan kepatuhan piawaian.

​"Hasil semakan mendapati proses pemeriksaan dan penentuan kualiti padi tersebut dijalankan mengikut Malaysian Standard MS 84:2017 seperti yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras melalui Perintah Tetap Ketua Pengarah Bilangan 3/2017 mengenai pemakaian Standard Operating Procedure (SOP) Pemutuan Padi.

​"Berdasarkan analisis makmal fizikal, faktor utama menyumbang kepada kadar pemutuan tersebut adalah jumlah kandungan biji padi muda/hijau yang tinggi iaitu mencecah 23.8 peratus (setelah ditolak pelepasan 3.0 peratus yang dibenarkan), selain faktor kadar wap basah (10.6 peratus) dan hampa (11.8 peratus)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

​Mengulas lanjut, KPKM memaklumkan aktiviti tuaian padi di Terengganu bagi Musim 2/2026 kini masih di peringkat awal.

​Jelasnya, padi yang dituai pada peringkat awal musim, terutamanya dari kawasan luar pengairan jelapang padi seperti di Kampung Jelapang, Setiu, lazimnya terdedah kepada isu kematangan biji padi yang tidak sekata semasa proses tuaian.

​Selain itu, kementerian itu menegaskan amalan pemutuan di semua kilang belian sentiasa mengutamakan komunikasi dua hala yang telus bersama pesawah atau wakil pesawah.

​"Bagi transaksi ini, kadar pemutuan telah dimaklumkan secara jelas dan wakil pesawah telah mengesahkan persetujuan penilaian tersebut menerusi tandatangan pada Sijil Mutu Padi (SMP) sebelum pengesahan belian dilakukan.

​"KPKM kekal komited memelihara kebajikan pesawah serta memastikan kecekapan industri padi dan beras negara sentiasa berada di tahap terbaik berlandaskan garis panduan serta piawaian yang ditetapkan," katanya.

Dalam masa sama, kenyataan itu memaklumkan, pasukan pemantau Kawalselia Padi dan Beras telah diarahkan untuk menyelaras operasi pemantauan di negeri-negeri yang bakal menghadapi musim penuaian padi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved