Potongan 35 peratus terlalu tinggi, PeSAWAH gesa KPKM pantau kilang

LocalBusiness & Finance
15 Sep 2026 • 8:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Potongan 35 peratus terlalu tinggi, PeSAWAH gesa KPKM pantau kilang
PeSAWAH gesa KPKM perketat pemantauan terhadap kilang padi berlesen susulan kadar pemotongan timbangan padi yang mencecah sehingga 35 peratus. Foto hiasan

ALOR SETAR - Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperketat pemantauan terhadap kilang padi berlesen susulan kadar pemotongan timbangan padi yang mencecah sehingga 35 peratus.

Pengerusinya, Abdul Rashid Yob berkata, keadaan itu membimbangkan kerana kadar pemotongan yang tinggi boleh memberi kesan kepada pesawah khususnya ketika kos pengeluaran terus meningkat.

Menurutnya, ketika ini kira-kira 10 hingga 15 peratus kawasan di utara seperti Kuala Muda dan Yan di Kedah sudah memulakan aktiviti penuaian padi, manakala musim menuai dijangka memuncak pada awal Oktober.

“Bagaimanapun, apa yang kita dapati ialah ada tanaman padi dikenakan potongan sehingga 35 peratus berdasarkan satu aduan yang diterima PeSAWAH pada Ogos lalu.

“Aduan telah dibuat kepada Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kedah dan mereka telah hadir membuat analisis. Memang terdapat isu kualiti, namun potongan sehingga 35 peratus oleh kilang itu sangat tinggi,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Abdul Rashid, sebelum ini kadar potongan yang lazim dikenakan adalah sekitar 20 hingga 22 peratus.

Katanya, antara alasan yang sering dikaitkan dengan potongan tinggi termasuk kandungan kelembapan, kotoran dan hampa, namun perkara itu perlu dinilai berdasarkan analisis yang tepat serta tidak membebankan pesawah secara tidak wajar.

“Pesawah mana yang tidak mahu hantar padi yang elok ke kilang. Semua pesawah mahu hasil yang baik.

“Tetapi jika padi yang baik sekalipun masih dikenakan potongan pada kadar yang tinggi, kita rasa perkara itu perlu dilihat semula dan KPKM perlu tegas memantau perkara ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pesawah yang menerima resit atau bil pembelian dengan kadar potongan tinggi disaran segera membuat aduan kepada agensi berkaitan supaya pemeriksaan dan analisis terhadap padi serta kilang berkenaan dapat dilakukan.

Menurutnya, pemantauan lebih kerap perlu dilaksanakan berdasarkan data pemotongan padi harian bagi mengenal pasti pengilang yang secara konsisten mengenakan kadar potongan tinggi.

“Kalau kita ada rekod potongan harian, kita boleh lihat pengilang mana yang kerap membuat potongan tinggi berbanding sepatutnya.

“Kemudian pihak berkuasa boleh memanggil pengilang berkenaan untuk mendapatkan penjelasan mengapa kadar potongan itu begitu tinggi," katanya.

Katanya, PeSAWAH turut mencadangkan satu sistem penggredan yang lebih jelas diwujudkan bagi mengklasifikasikan kualiti padi mengikut kategori tertentu, sekali gus membantu menetapkan kadar pemotongan secara lebih telus dan munasabah.

Katanya, mekanisme berkenaan perlu mengambil kira keadaan sebenar padi dan tidak semata-mata meletakkan beban kualiti kepada pesawah.

“Sekiranya satu tan atau 1,000 kilogram padi dikenakan pemotongan sebanyak 20 peratus, pesawah hanya menerima bayaran berdasarkan 800 kilogram, manakala baki 200 kilogram dikurangkan atas faktor kualiti,” jelasnya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved