
PETALING JAYA – Kerajaan terus memperkukuh usaha membantu rakyat berdepan peningkatan kos sewa kediaman dengan memperbanyakkan penyediaan rumah mampu sewa, memperluas peluang memiliki rumah dan memperkenalkan perlindungan lebih baik kepada penyewa.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Aiman Athirah Sabu berkata, kerajaan memahami tekanan yang dihadapi terutama golongan muda dan keluarga baharu akibat kenaikan kadar sewa rumah serta bilik di kawasan bandar.
Menurut beliau, kerajaan tidak memilih pendekatan kawalan harga sewa secara menyeluruh kerana pasaran sewaan dipengaruhi pelbagai faktor ekonomi dan keadaan setempat.
“Sebaliknya, kerajaan mengambil pendekatan lebih menyeluruh dengan memperbanyakkan penyediaan rumah sewa yang mampu didiami, memperkukuh perlindungan kepada penyewa serta meningkatkan peluang pemilikan rumah agar kebergantungan kepada pasaran sewaan dapat dikurangkan dalam jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Senator Datuk Wong You Fong di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan ialah Skim Sewa-untuk-Beli (Rent-to-Own, RTO) Program Residensi Rakyat (PRR), pembangunan Rumah Belia Madani (RBM) untuk golongan belia serta Perumahan Inklusif Madani (PIM) yang menawarkan rumah mampu milik kepada pelbagai kumpulan sasaran.
Selain itu, Aiman Athirah berkata, KPKT turut memuktamadkan Rang Undang-Undang Penyewaan Kediaman (Rta) bagi memastikan hak penyewa dan pemilik rumah lebih seimbang, di samping menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian yang lebih cepat, mudah dan berkos rendah.
Tambah beliau, kerajaan juga memperluaskan akses pembiayaan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), Step-Up Financing dan pelepasan cukai faedah pinjaman perumahan untuk membantu lebih ramai rakyat, khususnya pembeli rumah pertama, memiliki kediaman sendiri. – KOSMO! ONLINE
The post KPKT giat tambah rumah mampu sewa appeared first on Kosmo Digital.






