KPKT sasar 200,000 peserta kutip 28 tan barang kitar semula

LocalEnvironment
9 Sep 2026 • 3:54 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: KPKT sasar 200,000 peserta kutip 28 tan barang kitar semula

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan penyertaan 200,000 rakyat dan mengumpulkan 28 tan barangan kitar semula bersempena dengan Hari Cuci Malaysia (HCM) 2026.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, kedua-dua sasaran itu ditetapkan bagi mencipta dua rekod baharu dalam Malaysia Book of Records menerusi sambutan yang akan diadakan secara serentak di seluruh negara pada 25 September ini.

Beliau berkata bagi memperluas penyertaan tahun ini, KPKT menjalin kerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi mengiktiraf penyertaan murid dari 10,000 sekolah dalam HCM sebagai satu daripada aktiviti di bawah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

“Penglibatan generasi muda merupakan antara pendekatan penting dalam usaha membentuk budaya kebersihan sebagai amalan dan tanggungjawab bersama,” katanya pada sidang media prapelancaran acara itu di sini hari ini.

Nga berkata HCM tahun ini turut mendapat sokongan 21 rakan strategik terdiri daripada syarikat sektor pembersihan, persatuan industri, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat multinasional, syarikat peruncitan serta pertubuhan bukan kerajaan.

Beliau berkata, program itu semakin penting berikutan penjanaan sisa pepejal negara yang terus meningkat, dengan Malaysia merekodkan sebanyak 14.5 juta tan sisa pada 2024 dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 17 juta tan menjelang 2035.

“Persekitaran yang bersih bukan saja mencerminkan imej dan tahap kemajuan negara, malah ia berkait rapat dengan kesihatan awam, kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Sambutan HCM Peringkat Kebangsaan 2026 dijadualkan berlangsung pada 26 September ini di Pasar Taman Seri Gombak, Batu Caves. – BERNAMA

The post KPKT sasar 200,000 peserta kutip 28 tan barang kitar semula appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved