
PUTRAJAYA: Kerajaan menyasarkan pengumpulan 28,000 kilogram barangan kitar semula menerusi Hari Cuci Malaysia (HCM) 2026 yang akan diadakan pada 26 September ini di seluruh negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sasaran berkenaan adalah antara dua rekod baharu yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi penganjuran HCM tahun ini.
“Kalau kita lihat tahun lepas, lebih 100,817 orang telah menyertai HCM di seluruh negara dan kita berjaya mengumpul 27,679 kilogram minyak masak terpakai dalam tempoh satu hari.
“Dengan kata lain, dalam tempoh dua tahun, kita sudah berjaya memecahkan lima rekod Malaysia Book of Records,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra-Pelancaran HCM 2026 di sini, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan turut menyasarkan penyertaan seramai 200,000 orang melibatkan murid, guru dan komuniti sekolah daripada lebih 10,000 sekolah di seluruh negara.
“Generasi lestari bermula di sekolah dan melalui kerjasama ini kita mahu mendidik anak-anak supaya menjadikan kebersihan sebagai satu budaya,” katanya.
Nga berkata, HCM bukan sekadar program gotong-royong, sebaliknya platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kebersihan, kitar semula dan tanggungjawab bersama.
Katanya, Malaysia menghasilkan 14.5 juta tan metrik sisa pada 2024 dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 17 juta tan metrik menjelang 2035 sekiranya pendekatan sedia ada diteruskan.
“Kerajaan turut membelanjakan lebih RM2 bilion setahun untuk pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam,” katanya.
Dalam pada itu, Nga berkata, program itu juga diadakan bersempena ‘World Cleanup Day’ bagi menggerakkan pendekatan seluruh negara dalam memastikan kebersihan persekitaran menjadi tanggungjawab bersama.
“Kalau kita mahu infrastruktur kelas pertama, kita juga perlu mempunyai mentaliti kelas pertama. Kebersihan bukan sekadar tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi tanggungjawab setiap rakyat,” katanya. – UTUSAN
The post Hari Cuci Malaysia 2026 sasar 28,000 kg barangan kitar semula appeared first on Utusan Malaysia.






