KPM Nafi Edar Surat Wajibkan Petugas Tonton Filem Anwar 

29 May 2023 • 3:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kementerian menegaskan tidak pernah mengeluarkan arahan seumpama itu. - Gambar tangkap layar

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan ada mengeluarkan arahan untuk semua petugas menonton filem biopik Anwar : The Untold Story.

Jurucakap kementerian menerusi satu kenyataan ringkas berkata, kementerian tidak pernah mengeluarkan arahan seumpama itu.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan penganjuran tayangan filem seperti yang ditularkan. 

“Semak kesahihan maklumat, tidak pasti jangan kongsi,” katanya.

Surat yang memaparkan arahan tersebut terdahulu dikongsi Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff di Facebook, sambil mempersoalkan kesahihan perkara berkenaan.

Tinjauan Getaran di akaun Siti Zailah bagaimanapun tidak menemui perkongsian berkenaan, dipercayai telah dipadamkan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan, Asmaalif Abdul Adam menerusi hantaran di Facebook berkata, beliau telah menghubungi pegawai yang bertugas di KPM untuk bertanya mengenai kesahihan surat tersebut.

“Beliau menafikan surat itu dikeluarkan oleh pejabat Ketua Pengarah Pendidikan (KPPM) dan lebih mengecewakan lagi nama pegawai khas KPPM pun salah seolah-olah pemfitnah ini tidak membuat kajian teliti sebelum membuat dosa fitnah.

“Untuk makluman pemfitnah, Puan Asmah telah bersara wajib sejak Januari 2023 lagi,” katanya. - Getaran, 29 Mei 2023