KPM pastikan calon SPM tidak terjejas akibat tengkujuh

2 Nov 2026 • 4:49 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: KPM pastikan calon SPM tidak terjejas akibat tengkujuh

KUALA NERUS: Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah proaktif bagi memastikan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak terjejas akibat Monsun Timur Laut (MTL) termasuk melaksanakan Operasi Payung bagi membantu calon di kawasan berisiko banjir menduduki peperiksaan dengan selamat dan lancar.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Datuk Zainal Abas berkata, pelbagai persiapan awal digerakkan bagi memastikan peperiksaan SPM dapat berlangsung mengikut jadual meskipun beberapa kawasan dijangka berdepan banjir sepanjang musim tengkujuh.

Katanya, Operasi Payung yang dilaksanakan setiap tahun akan membantu calon SPM di kawasan terjejas banjir supaya mereka dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selesa dan selamat.

“Kita tahu setiap hujung tahun kebanyakan kawasan di negara ini berdepan risiko banjir yang boleh menjejaskan kelancaran peperiksaan SPM. Justeru, persiapan awal sudah dilakukan memandangkan ujian lisan dan amali sains telah bermula manakala peperiksaan bertulis berlangsung dalam tempoh MTL,” katanya Majlis Terafecta Digital Luminaries Awards anjuran Jabatan Pendidikan  Negeri Terengganu di Dewan Jubli Perak Bandar Baru Kuala Nerus, di sini hari ini.

Zainal berkata, menerusi Operasi Payung, calon SPM yang tinggal di kawasan pulau dibawa lebih awal ke tanah besar dan ditempatkan di sekolah berasrama penuh bagi mengelakkan mereka berdepan kesukaran merentasi laut ketika musim tengkujuh.

Katanya, langkah itu bukan sahaja memastikan calon dapat hadir ke pusat peperiksaan mengikut jadual, malah memudahkan guru yang bertugas sebagai petugas peperiksaan menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, KPM turut bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan daerah serta agensi keselamatan lain bagi menyelaras tindakan menghadapi sebarang kemungkinan.

Katanya, NADMA memperuntukkan lebih RM7 juta tahun ini bagi membantu KPM menyediakan kemudahan lebih baik di sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

“Peruntukan itu antaranya digunakan untuk kerja pembaikan tandas serta penyelenggaraan persekitaran sekolah bagi memastikan kemudahan berkenaan berada dalam keadaan baik sebelum menempatkan mangsa banjir.

“Selain itu, NADMA memaklumkan akan menyalurkan tambahan RM5 juta bagi membantu KPM melaksanakan persiapan selepas MTL,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, KPM turut menyediakan pasukan sokongan termasuk Smart Support Team yang terdiri daripada guru kaunseling bagi melaksanakan program sokongan minda sihat dan aktiviti bersesuaian untuk murid yang terkesan akibat bencana. – UTUSAN

 

The post KPM pastikan calon SPM tidak terjejas akibat tengkujuh appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved