KPM perlu 'berguru' dengan Asyraf Wajdi

LocalPolitics
29 Sep 2026 • 7:04 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: KPM perlu 'berguru' dengan Asyraf Wajdi
Pendekatan Mara yang diterajui Asyraf Wajdi di MRSM mungkin boleh dijadikan antara contoh untuk diteliti dalam usaha menangani isu buli di sekolah

KES buli di sekolah semakin membimbangkan apabila insiden berkenaan bukan sahaja menjejaskan emosi dan keselamatan pelajar, malah dalam kes tertentu membawa kepada kehilangan nyawa.

Terbaharu, seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba Kuala Pilah, Negeri Sembilan meninggal dunia selepas dipercayai dipukul senior. Susulan kejadian itu, seorang pelajar Tingkatan Empat direman enam hari bagi membantu siasatan.

Kes itu menimbulkan persoalan besar mengenai keberkesanan usaha menangani buli di sekolah. Ibu bapa dan masyarakat tentunya mahu melihat tindakan lebih tegas dan menyeluruh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan sekolah benar-benar menjadi tempat yang selamat untuk semua pelajar.

Dalam usaha menangani isu buli, pendekatan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mungkin boleh dijadikan antara contoh untuk diteliti. Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini memaklumkan kajian dijalankan Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan penurunan kes disiplin dan buli di beberapa MRSM yang sebelum ini mempunyai rekod berkaitan.

Menurut beliau, dapatan kajian berkenaan turut menunjukkan pendekatan menempatkan bekas anggota tentera sebagai warden di MRSM memberi kesan positif terhadap pengurusan disiplin pelajar.

Selain membantu menangani isu buli, pendekatan itu juga dilaporkan dapat mengurangkan beban guru yang sebelum ini perlu menggalas tanggungjawab tambahan sebagai warden asrama.

Walaupun setiap institusi mempunyai keperluan dan cabaran berbeza, KPM boleh meneliti pendekatan sedemikian dan menilai keberkesanannya untuk disesuaikan mengikut keadaan sekolah.

Antara langkah boleh dipertimbangkan ialah memperkukuh pemantauan di kawasan berisiko, menambah warden dan pegawai disiplin mengikut keperluan, mempercepatkan saluran aduan sulit, melaksanakan intervensi awal terhadap pelaku dan mangsa serta memperkukuh kerjasama antara sekolah, ibu bapa dan pihak berkuasa.

Pada masa sama, pendidikan mengenai kesan buli perlu diperkasakan. Pelajar mesti memahami buli bukan sekadar gurauan atau masalah disiplin kecil, sebaliknya boleh membawa kesan serius kepada keselamatan dan masa depan seseorang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved