KPM sedia laluan Orang Asli sambung pengajian ke Madinah, Mesir

29 Jul 2026 • 4:26 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: KPM sedia laluan Orang Asli sambung pengajian ke Madinah, Mesir

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) membuka laluan kepada murid Orang Asli melanjutkan pengajian ke universiti di Madinah dan Mesir mengikut kelayakan akademik masing-masing.

Pengarah Bahagian Pendidikan Islam KPM, Omar Salleh berkata, ia sekali gus membuka ruang yang sama kepada mereka seperti pelajar lain untuk melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Murid Orang Asli juga berpeluang melanjutkan pengajian di Asia Barat. Kalau mahu ke universiti di Madinah, mereka boleh melalui Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA).

“Jika mahu ke Mesir, mereka kena masuk ke Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Ada ruang untuk mereka di situ,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutupan Karnival Fitrah Murid Orang Asli (KAFOA) di Pantai Cahaya Bulan, di sini hari ini.

Omar memberitahu, murid Orang Asli sentiasa menerima layanan sama seperti pelajar lain dalam sistem pendidikan negara, malah turut diberikan ruang tertentu bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menikmati akses kepada pendidikan berkualiti.

Katanya, tidak timbul sebarang masalah sekiranya murid Orang Asli mahu mengikuti pembelajaran di sekolah berasrama penuh atau sekolah aliran agama di bawah KPM.

“Di bawah Bahagian Pendidikan Islam, kita mempunyai SABK dan murid Orang Asli turut diberikan peluang mengikuti pembelajaran di situ.

“Kalau mereka mahu pergi lebih jauh dan lebih berjaya, mereka perlu mempunyai kekuatan akademik. Kebiasaannya KPM akan memberikan keutamaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Omar berkata, KPM turut menyediakan ruang khas kepada murid Orang Asli serta golongan B40 yang berhasrat memasuki sekolah berasrama penuh sebagai usaha memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti.

Katanya, pendekatan itu diambil bagi menggalakkan lebih ramai murid Orang Asli mengikuti pembelajaran dalam suasana yang lebih sistematik, kondusif dan selesa.-UTUSAN

The post KPM sedia laluan Orang Asli sambung pengajian ke Madinah, Mesir appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved