Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan cadangan meletakkan program Tingkatan Enam di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) susulan kekangan melibatkan sistem pentadbiran dan skim perkhidmatan, sekali gus mengekalkan program prauniversiti itu di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) buat masa ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun cadangan berkenaan dilihat sebagai langkah yang rasional memandangkan Tingkatan Enam merupakan program pendidikan pasca menengah, pelaksanaannya memerlukan penelitian lebih mendalam sebelum sebarang keputusan dapat dibuat.
“Saya fikir rasionalnya memang betul, tetapi peralihan itu mengambil masa kerana sistem dan skim.
“Jadi buat sementara ini saya putuskan supaya program prauniversiti Tingkatan Enam kekal di bawah Kementerian Pendidikan,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan identiti Tingkatan Enam sebagai program prauniversiti perlu diperkasakan agar tidak lagi dilihat sebagai sebahagian daripada sistem persekolahan menengah biasa.
Menurut beliau, walaupun pelajar Tingkatan Enam masih ditempatkan di sekolah yang sama, mereka sewajarnya mempunyai blok pembelajaran, pengurusan, disiplin serta aktiviti yang berasingan bagi mewujudkan suasana pembelajaran setaraf institusi prauniversiti.
“Saya mahu Tingkatan Enam jangan dijadikan sebahagian daripada persekolahan. Sentimennya ialah prauniversiti.
“Kalau berada dalam sekolah yang sama sekalipun, mereka perlu mempunyai blok berasingan, diurus sebagai program berasingan dan diberi pengiktirafan khas,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar majlis perhimpunan pelajar Tingkatan Enam diasingkan daripada murid Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima supaya mereka benar-benar merasai status sebagai pelajar pasca sekolah dan prauniversiti.
Artikel lain: Tingkatan Enam masuk kampus? KPM mulakan projek Rintis di USM, UKM
Menurut Anwar, pendekatan sedemikian pernah dilaksanakan sebelum ini dan wajar dikembalikan bagi meningkatkan imej serta keyakinan pelajar terhadap laluan pendidikan berkenaan.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengkaji semula cadangan memindahkan Tingkatan Enam ke KPT atau mewujudkan kolej khas Tingkatan Enam pada masa hadapan sekiranya keadaan mengizinkan.
“Sekarang kita kekalkan dahulu di bawah KPM. Beberapa tahun akan datang kita boleh kaji semula sekiranya dirasakan perlu,”ujar beliau.

Sementara itu, Anwar turut mengumumkan kerajaan akan memperluaskan bantuan persekolahan kepada lebih 30,000 pelajar Tingkatan Enam supaya mereka menikmati kemudahan yang sama seperti murid Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.
Beliau berkata, pendidikan khas serta sekolah autisme juga akan terus diberi perhatian, selain meminta Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan memastikan keperluan sekolah-sekolah tersebut diberi keutamaan dalam Belanjawan akan datang.
Sumber: Utusan Online (Maisarah Sheikh Rahim)





