
KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan (KPM) dijangka akan mengumumkan jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 petang ini.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, perkara itu akan dibentangkan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk mendapatkan persetujuan sebelum jadual berkenaan dikeluarkan.
“Kalau tidak ada apa-apa isu hari ini, boleh tanda tangan dan kita akan keluarkan petang ini juga.
“Terdapat sedikit perubahan dan penambahbaikan terhadap jadual SPM untuk tahun ini selepas kita (KPM) mengambil kira pelbagai pandangan, termasuk faktor monsun timur laut dan jerebu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bas kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Azam memberitahu, perubahan jadual itu dibuat selepas KPM mengambil kira beberapa isu yang timbul sebelum ini.
Katanya, ia termasuk soal kedudukan kertas peperiksaan tertentu yang mempunyai jumlah calon lebih kecil dan dilaksanakan di lokasi yang kurang strategik.
“Tempoh dulu ada yang komplen kertas-kertas yang kecil ini selalu ke belakang. Kertas dia, dia duduk belakang yang tak ramai calon. Kertas tak tahu dia, dia kena duduk belakang, nak jalan susah kata dia.
“Jadi kita fikir bila kita ambil semua pandangan, kita nak buat sedikit perubahan dan penambahbaikan daripada jadual peperiksaan,” ujarnya.
Mohd. Azam memberitahu, KPM tidak mahu sebarang perubahan dibuat secara terburu-buru sehingga menimbulkan implikasi kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah.
Katanya, perkara itu perlu diteliti dari peringkat kementerian sehingga ke sekolah bagi memastikan jadual yang ditetapkan benar-benar terbaik untuk semua pihak, khususnya calon dan ibu bapa.
“Kita di kementerian akan cuba berikan yang terbaik untuk JPN, PPD dan juga sekolah, terutamanya anak-anak kita yang menduduki peperiksaan dan juga kepada ibu bapa,” katanya.-UTUSAN
The post KPM dijangka umum jadual SPM 2026 petang ini appeared first on Utusan Malaysia.






