KPM Umum Subjek ‘Pendidikan Karakter’ Bermula 2026, Fokus Bentuk Sahsiah & Akhlak Murid Sekolah

LocalFamily & Parenting
17 Oct 2025 • 5:37 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Sejak kebelakangan ini, terdapat pelbagai isu dan jenayah berat yang berlaku di peringkat sekolah sebagai contoh kes rogol berkumpulan, murid tingkatan empat yang maut dibunuh, kegiatan buli dan banyak lagi.

Hal ini kemudiannya mendapat perhatian masyarakat yang semakin bimbang dengan akhlak dan keperibadian generasi sekarang kerana dilihat semakin agresif dan berani melakukan perkara sedemikian.

Oleh disebabkan itu, ramai mendesak agar pihak bertanggungjawab mengambil langkah pencegahan awal bagi mengelakkan kes jenayah ini berleluasa pada masa akan datang.

Subjek Pendidikan Karakter Akan Dimulakan Di Peringkat Pra Sekolah Dahulu

Semalam (16 Oktober), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa subjek Pendidikan Karakter akan diperkenalkan sebagai salah satu inisiatif memperkukuh dan membentuk sahsiah serta keperibadian murid sekolah.

Menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, KPM ketika ini sedang membuat persiapan bagi kurikulum baharu itu. Mengulas lanjut, subjek tersebut melibatkan pra sekolah terlebih dahulu sebelum diperluas ke peringkat seterusnya.

Tambah Fadhlina, subjek terbabit akan menjadi tunjang kepada Kurikulum Persekolahan 2027 yang mana selaras dengan usaha kementerian terbabit bagi menekankan moral, akhlak, dan pembinaan jati diri dalam sistem pendidikan.

“Kurikulum baharu 2027 ini akan memperkenalkan mata pelajaran penting yang menjadi asas kepada semua, iaitu Pendidikan Karakter.

“Ia akan menjadi teras utama dalam pelaksanaan kurikulum bermula tahun 2026,” kata beliau di Dewan Rakyat.

KPM Tekad Lahir Pelajar Berakhlak Dengan Nilai Murni Tinggi

Berbicara lebih lanjut mengenainya, pendekatan pendidikan berlandaskan karakter individu ini akan menjadi landasan utama bagi menyatukan keseluruhan sistem pembelajaran baharu KPM.

Melalui langkah ini, kerajaan berharap dapat melahirkan generasi pelajar yang berakhlak tinggi dan mempunyai keperibadian seimbang.

Dalam masa sama, KPM juga akan memberi tumpuan kepada aspek nilai dan akhlak yang terkandung dalam silibus sedia ada.

image is not available
Sumber: Malay Mail

Saringan Minda Sihat Di Kalangan Murid Akan Dijalankan 2 Kali Setahun

Mengenai isu kesihatan mental murid yang dilihat semakin membimbangkan saban hari, Fadhlina mengumumkan bahawa kementerian itu akan melaksanakan saringan minda sihat terhadap para murid sebanyak dua kali setahun. Ia akan dijalankan di sekolah masing-masing.

Melalui ujian saringan itu, status kesihatan mental sama ada stres, bimbang, atau kemurungan boleh diketahui.

“Jika terdapat tanda-tanda tekanan atau kemurungan, murid akan dirujuk untuk mendapatkan intervensi dan sokongan daripada pihak berautoriti termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelas beliau.

Langkah intevensi melalui pakar psikiatri telah pun dijalankan, namun usaha pembaharuan yang dirancang akan memperkukuh lagi pendekatan tersebut menerusi latihan serta program khusus untuk para pendidik serta kaunselor.

Kesihatan Mental Golongan Muda Semakin Merosot

Cakna dengan insiden-insiden menyayat hati yang berlaku baru-baru ini, pakar psikologi Amirul Ramli, menerusi hantaran di TikTok ada mengulas tentang perkara tersebut dari aspek kesihatan mental golongan muda.

“Sama ada dunia ni buat remaja makin stres ataupun ketahanan remaja terhadap stres merosot?” soal Amirul.

image is not available
Gambar sekadar hiasan.
Sumber: Pexels

Menurutnya, satu kajian dijalankan mendapati remaja pada masa kini sememangnya hidup dalam tempoh yang dianggap sebagai zaman paling stres dalam sejarah moden.

Tambahnya, bahagian otak remaja yang mengawal impuls iaitu korteks prefrontal akan menjadi lemah apabila terdedah kepada stres berpanjangan.

Apabila keadaan ini berlaku, sistem emosi akan mengambil alih menyebabkan mereka akan melakukan sesuatu yang di luar jangkaan apabila berasa marah.

Source: